KOTA KINABALU - Hasil pemeriksaan terhadap seorang budak perempuan bawah umur yang mendakwa dirogol sebelum lelaki itu bertindak mengahwininya, seorang pakar sakit puan menyatakan, kemasukan objek keras dan tumpul seperti kemaluan lelaki ke dalam faraj, mungkin berlaku dan mungkin juga tidak berlaku.
Keterangan itu diberikan oleh Dr. Munawwirah Ismail dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas di Mahkamah Sesyen di sini hari ini dalam perbicaraan kes Riduan Masmud, 40, yang didakwa merogol mangsa ketika berusia 12 tahun enam bulan itu. Bagaimanapun menurut Munawwirah, hasil pemeriksaan luaran mendapati ada kesan luka baharu dan lebam di bahagian selaput dara namun tiada kesan koyakan. Katanya, berdasarkan ujian dan temu bual ke atas mangsa, mungkin terdapat kemasukan objek tumpul dan keras ke dalam faraj mangsa.
Bagaimanapun katanya, tiada kesan paksaan ke dalam faraj dan saiz luka yang nipis berukuran 0.5 sentimeter di bahagian selaput dara ekoran terdapat tekanan atau kemasukan benda yang tumpul dan keras ke dalam faraj. Diminta menjelaskan mengenai tekanan yang dimaksudkan, saksi itu menjawab: ''Apa-apa sahaja yang keras dan tumpul seperti jari, zakar atau timun.'' ''Saya ada menemubual mangsa sebelum membuat pemeriksaan badan. Mangsa menyatakan dia dirogol pada 18 Februari lalu oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Joey semasa dia dibawa ke satu tempat di Kiansom Waterfall dan dipaksa melakukan persetubuhan,'' katanya di hadapan Hakim Ummu Khatom Abd. Samad. Riduan dibicarakan atas tuduhan merogol budak tersebut di tempat letak kenderaan di tepi jalan di Inanam, dekat sini pada 18 Februari lalu. Ditanya sama ada terdapat sebarang tanda menunjukkan mangsa melawan penyerangnya, Munawwirah berkata, pemeriksaan luaran mendapati tiada tanda-tanda mangsa melawan. Menjelaskan lebih lanjut perkara itu, saksi menyatakan semasa pemeriksaan genital dilakukan, terdapat kesan calar nipis dan luka nipis di bahagian kemaluan mangsa serta kesan lebam, tetapi tidak ada kesan koyakan pada selaput dara. Bagaimanapun katanya, walaupun terdapat lebam di bahagian selaput dara, mungkin juga tiada berlaku kemasukan zakar ke dalam faraj kerana kesan itu boleh juga disebabkan oleh faktor lain seperti terjatuh, bermain sukan atau hanya dicabul. Perbicaraan bersambung esok. |
ADVERTISEMENT