Berstatus suami orang membuatkan pelakon Shah Iskandar, 41, lebih berhati-hati di lokasi penggambaran demi menjaga perasaan isteri tersayang. Katanya, bukan lagi masanya untuk berskandal memandangkan hidupnya sudah cukup bahagia dan sempurna bersama isteri dan cahaya mata berusia tiga tahun.
"Tak dinafikan cinta lokasi memang wujud, malah saya sendiri pun pernah terjebak dengan cinta lokasi. "Zaman solo tak salah jika terjebak cinta lokasi. Tetapi, bila sudah berumahtangga sibuk nak berskandal tentulah membawa bala, namun ia sebenarnya atas sikap individu itu sendiri," katanya yang ditemui di set penggambaran Bukan Cinta Sempurna di sebuah kafe di Bangi, baru-baru ini. Memegang watak Raja Aniq Budi Shah, pelakon kelahiran Kota Singa itu mengakui, dia kini tidak lagi menerima tawaran serancak dahulu. Sudah lebih sedekad menceburi dunia lakonan, Shah berkata, tiada apa lagi yang ingin dikejar kerana banyak yang sudah dikecapi sepanjang mencari rezeki di Malaysia.
"Bila usia sudah cecah 41 tahun, saya rasa tenaga tidak seperti dahulu. Fokus saya kini hanya pada diri sendiri dan keluarga. "Tiada lagi 'call time' jam 8 pagi dan pulang keesokan harinya. "Saya bukanlah selektif cuma bila sesekali keluar, saya akan pastikan lakonan meninggalkan kesan. Itu cara saya asah lakonan dan pastikan nama terus kekal relevan. "Lagi satu sebelum terima apa-apa tawaran saya akan tanya pada diri mampukah saya bawa watak itu," katanya yang tidak lagi mengejar dua tiga 'job' dalam satu masa. Katanya, tiada apa lagi yang ingin dikejar kerana sudah puas bergelar hero sehingga dua kali menjulang trofi Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH). Bagaimanapun, kata Shah, dia belum terfikir bersara daripada kerjaya dalam bidang lakonan. Shah berkata, dia kini mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan termasuk perlahan-lahan bergelar promoter konsert di Singapura. "Saya belum berhenti berlakon cuma tak serancak dahulu. Lagipun, saya memiliki perniagaan sendiri dan bergelar promoter konsert serta bakal membawa masuk Kumpulan Ungu menjayakan konsert di Singapura," katanya. Berkongsi mengenai lakonannya dalam drama arahan Azri Izhar, Shah berkata, dia membawakan watak antagonis sehingga isterinya turut menerima tempias "Saya dan isteri memang tiada apa-apa rahsia. Jadi, dia boleh baca mesej langsung (DM) yang bukan-bukan dihantar peminat drama Bukan Cinta Sempurna. "Saya syak mereka adalah peminat Ayda Jebat yang geram dengan sikap saya dalam drama ini. "Tetapi saya bangga kerana bermakna lakonan sampai hingga peminat bencikan saya," katanya. Sumber: BH Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|