Kuala Lumpur: Kajian badan penyelidikan yang mendapati penjawat awam masih 'terperangkap' dengan era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan suatu manifestasi yang melambangkan golongan itu antikerajaan.
Sebaliknya, bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata sebagai seorang penjawat awam, mereka sudah berikrar untuk menyatakan taat setia sepanjang perkhidmatan kepada kerajaan sedia ada. Katanya, namun, dalam konteks demokrasi, penjawat awam ini berhak melontarkan suara mereka sendiri, tanpa paksaan melalui kertas undi pada pilihan raya. "Tidak adil jika hanya melalui dapatan kajian, penjawat awam dilabel sebagai antikerajaan sedangkan taat setia mereka berkhidmat kepada kerajaan sedia ada, tidak boleh dinafikan. "Namun, jika saya berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan kerajaan, adakah saya perlu menyokong parti yang membentuk kerajaan? Jika ya, di mana demokrasinya.
"Saya dimaklumkan ada penjawat awam kategori tentera dan polis tidak undi parti kerajaan bukan bermaksud mereka tidak taat kepada kerajaan. "Namun ketika meletakkan tangan di kertas undi, sebagai manusia dan pengundi, mereka tidak boleh dipaksa," katanya kepada BH, di sini hari ini. Sebelum ini, kajian badan penyelidikan, Ilham Centre, mendapati penjawat awam masih dibelenggu atau terperangkap dalam era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, lantas menyaksikan kelompok itu cenderung menyokong Perikatan Nasional (PN) ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu. Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Muhamad Hisommudin Bakar dilaporkan berkata, pola yang dikesan hasil temubual dilakukan pihaknya itu memperlihatkan penjawat awam tidak menterjemahkan sokongan kepada pentadbiran sekarang yang diterajui Kerajaan Perpaduan. Pada masa sama Azih yang juga Presiden Persatuan Pesara Kerajaan dan Swasta (PEJASMA), berkata sebagai sebuah negara demokrasi, menjadi tanggungjawab parti yang membentuk kerajaan mencari punca jika wujudnya unsur penjawat awam tidak menyokong mereka. Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan faktor calon yang diletakkan parti kerajaan di sesuatu kawasan menyebabkan pola undi itu berubah. "Ada calon yang tidak disukai diletakkan di satu-satu kawasan, menyebabkan mereka ini tidak mahu memilihnya walaupun mereka datang dari parti kerajaan. "Selain itu, ada juga penjawat awam berasa terguris hati apabila pemimpin pada pentadbiran kini di khalayak menyatakan wujudnya golongan itu terbabit dalam rasuah. "Sepatutnya kaedah lebih berdiplomatik digunakan kerana ia dilihat umpama 'serangan' kepada penjawat awam," katanya. Beliau berkata, namun usaha pentadbiran kini di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memfokuskan kebajikan penjawat awam membabitkan kajian Sistem Saraan (SSM) baharu, boleh menjadi nilai tambah bagi meyakinkan penjawat awam bahawa suara mereka didengar. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT