CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Wanita Dikurung, Dipukul, Dipaksa Bekerja Dengan Scammer

26-8-2023 02:58 PM| Diterbitkan: tatod| Dilihat: 1853| Komen: 0

Kuala Lumpur: Hasrat mencari lebih pendapatan bagi merawat tumor fibroid bertukar sebaliknya apabila dikurung, dipukul, diugut dan dipaksa melakukan pekerjaan penipuan atas talian.

Itu penderitaan berganda dialami seorang wanita apabila menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di sebuah kawasan di utara Myanmar sejak Julai lalu.


Perkara itu terbongkar selepas mangsa berusia 45 tahun berjaya menghubungi seorang rakan baiknya menerusi aplikasi WhatsApp dan e-mel sebelum rakan itu memaklumkan kepada keluarga.

MISS Lee bercakap mewakili kakaknya yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia di MH Avenue. FOTO Aziah Azmee

Menceritakan kejadian, adik perempuan mangsa mahu dikenali Miss Lee, 42, berkata kakaknya melihat iklan tawaran pekerjaan sebagai penterjemah di laman sosial Facebook pada Jun lalu.


"Kakak sudah bekerja sebagai admin di sebuah syarikat di ibu kota tetapi dia beritahu mahu cari pekerjaan lain untuk menampung kos rawatannya.

"Kakak hanya ceritakan hal itu ketika dia sedang bercuti di China. Saya memintanya balik berbincang dengan keluarga dahulu.

"Pada penghujung Jun lalu, saya dapat WhatsApp daripada kakak beritahu dia sudah berada di Bangkok, Thailand untuk temuduga pekerjaan. Itu kali terakhir kami berhubung," katanya pada sidang media di Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam PKR Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Sejak itu, Miss Lee berkata, kakaknya gagal dihubungi dan hanya mengetahui bahawa kakaknya itu kini dikurung sindiket penipuan pekerjaan di sebuah kawasan terpencil di utara Myanmar melalui rakan wanita itu yang menetap di Singapura.

Menurutnya, kakak dibawa ke Myanmar dari Thailand oleh sindiket dengan diugut dan telefon bimbitnya turut dirampas.

Katanya, rakan yang menerima mesej daripada kakak itu dan turut minta diselamatkan segera menghubunginya sebelum dia tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Kakak ada hantar gambar kecederaannya kepada rakan dan memberitahu dia dipukul jika tidak mahu buat kerja menipu. Dia juga dilarang menghubungi keluarga dan jika sindiket dapat tahu akan teruk dipukul.

"Ibu bapa saya sudah berusia dan mereka belum tahu mengenai keadaan kakak kerana saya bimbang mereka akan sedih sehingga menggugat kesihatan. Jadi saya sangat berharap kakak dapat dibawa pulang ke Malaysia dengan selamat," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata, setakat ini terdapat kira-kira 20 mangsa penipuan sindiket pekerjaan yang dipercayai masih terperangkap di Myanmar.

"Kes ini bukan baru sebaliknya berlaku sejak dua tahun lalu dan kini sindiket dikesan mengubah modus operandi mereka dengan membuat iklan tawaran pekerjaan di Thailand, Dubai dan sebagainya.

"Tapi mangsa disuruh hadir temuduga di Bangkok sebelum mangsa kemudian dibawa ke Myanmar. Mangsa dikurung, diancam dan dipukul sepanjang berada di sana," katanya.

Justeru, beliau merayu kerajaan mengambil tindakan menyelesaikan masalah itu termasuk menjalin kerjasama dengan Asean dan United Nations untuk memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar supaya menyelamatkan mangsa sindiket berkenaan.


Sumber: Harian Metro


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

7-3-2025 08:55 AM GMT+8 , Processed in 0.161516 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top