Seremban: Seramai 23 wanita dan empat lelaki warga asing yang ditahan di pusat hiburan bersama 14 pegawai dan anggota polis serta timbalan pendakwa raya (TPR) Sabtu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret berasingan, hari ini.
Mereka didakwa atas tuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis methaphetamine di pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh, di sini pada 9.45 pagi, 19 Ogos 2023. Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang terdiri daripada warga China, Thailand dan Vietnam mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali serta Nurul Saqinah Rosli. Kesalahan didakwa mengikut 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika disabitkan. Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Pusppa dan Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi, manakala semua tertuduh diwakili peguam Lim Kim Fook.
Mahkamah membenarkan 13 tertuduh diberi jaminan RM4,000 dan RM8,000 kepada 14 lagi tertuduh, dengan dua penjamin warga Malaysia, manakala mengarahkan semua pasport mereka disimpan pihak mahkamah. Kes itu disebut semula pada 25 Oktober ini. Media sebelum ini melaporkan semua tertuduh ditangkap dalam serbuan Bukit Aman terhadap pusat hiburan di sini, yang turut menahan 14 pegawai kanan dan anggota polis serta dua timbalan pendakwa raya. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT