Ibarat kata pepatah, seorang ibu mampu menjaga 10 orang anak, namun seorang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu. Itulah perumpamaan tepat yang boleh digambarkan terhadap kisah seorang wanita yang diabaikan 12 orang anak sendiri.
Kisah malang itu dikongsi oleh seorang individu yang dikenali sebagai Mohd Nazryn juga pemandu p-hailing menerusi satu hantaran di laman Facebook. Menurut lelaki itu, kisah tersebut diceritakan sendiri oleh seorang pelanggan yang kesal dengan tindakan anak-anak sering mengabaikannya. “Makcik ni seorang ibu tunggal, ada 12 orang anak, semuanya sudah pun berumah tangga dan masing-masing dengan kehidupan mereka. Kebanyakan anak-anaknya semua jauh, tinggallah mak cik dengan cucu-cucunya yang terdekat sahaja.
“Dalam 12 orang anak, ada tiga orang anaknya yang tidak lagi mahu menegur dengan beliau. Ibarat tiga orang anak itu menganggap ibu mereka sudah tidak wujud lagi,” katanya. Tambah Mohd Nazryn, ada diantara anak-anak wanita terbabit sanggup menukar sim kad supaya ibunya itu tidak dapat menghubungi mereka. “Bukan mak cik mahu minta duit dengan mereka, mak cik cuma mahu dengar khabar mereka sahaja. Sampaikan mereka tukar sim kad supaya makcik tidak dapat hubungi mereka lagi. “Biar pun mereka buat makcik begitu, mak cik sentiasa doakan yang terbaik untuk semua anak-anak mak cik. Semoga suatu hari nanti mak cik dapat berkumpul semula dengan mereka,” luah wanita itu kepada lelaki tersebut. Sumber: Kosmo! Online
|
ADVERTISEMENT