Jakarta: Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan (KLHK) Indonesia memfailkan saman terhadap 22 syarikat kerana didakwa mencetuskan kebakaran hutan dan tanah di negara ini sepanjang tempoh 2015 hingga 2023.
Ketua Pengarah Penguatkuasaan Undang-Undang Alam Sekitar dan Perhutanan kementerian itu, Rasio Ridho Sani, berkata keseluruhan 22 syarikat terbabit adalah defendan sivil. "Ia berkaitan tuntutan ganti rugi bagi kerosakan alam sekitar yang diakibatkan serta tindakan tertentu, terutama pemulihan tanah," katanya di Jakarta, semalam, sebagaimana dilaporkan antaranews.com. Daripada 22 syarikat disaman itu, beliau berkata, keputusan ke atas 14 syarikat telah mempunyai kuasa undang-undang tetap atau 'inkracht van gewijsde' dengan membabitkan jumlah nilai mencecah Rp5.6 trilion.
Bagi pembayaran tuntutan ganti rugi/pemulihan alam sekitar itu, katanya, tujuh syarikat berkenaan sedang dalam proses pelaksanaan membabitkan nilai Rp3.05 trilion, manakala tujuh lagi sedang membuat persediaan untuk pelaksanaan membabitkan nilai Rp2.55 trilion. Sani berkata, mahkamah sudah membenarkan tuntutan saman itu, justeru kementerian mempunyai keputusan tetap dan bersedia untuk melaksanakannya terhadap 14 syarikat berkenaan. Beliau berkata, kementeriannya melakukan pemantauan berterusan dari Januari hingga Ogos lalu bagi membuat jangkaan kebakaran hutan dan tanah di Indonesia. Katanya, kementerian itu juga menghantar 99 surat amaran kepada syarikat yang mempunyai indikasi titik panas dengan tahap keyakinan melebihi 79 peratus. "Pasukan kami bekerja 24 jam untuk melakukan pemantauan melalui satelit bagi mencari titik panas, terutama di kawasan konsesi," katanya. - AGENSI Sumber: BH Online |
ADVERTISEMENT