Pelakon Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar yang juga penasihat agam Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menggesa mana-mana pengamal perubatan Islam di negara ini agar tidak terlalu ghairah berkongsi pengalaman mengubat golongan artis demi meraih perhatian ramai.
Asmawi, 48, berkata, perkara itu bukan sahaja mendedahkan aib pesakit malah tujuan asal untuk membantu pesakit sudah tersasar. "Sebenarnya mereka nak tunjuk apa? Adakah mereka nak tunjuk hebat dengan berkongsi gambar bersama selebriti? "Berkongsi di media sosial perkara bergitu adalah bersifat peribadi. Mereka sengaja mahu menaikkan jumlah pengikut di platform masing-masing bagi tujuan promosi. "Dalam pada masa sama, apa pula pandangan orang yang diubati itu? Pasti mereka akan rasa malu," katanya kepada mStar. Asmawi juga merupakan seorang pengamal perubatan Islam dan berpengalaman selama lebih tahun membantu ramai golongan selebriti.
Tambahnya golongan yang diberi keistimewaan ilmu sebegini tidak boleh mengambil kesempatan terhadap orang lain. Bagi Asmawi juga setiap amalan baik itu tidak perlu untuk dihebahkan dengan niat mahu mengaut keuntungan semata-mata. "Dalam dunia perubatan Islam ini, kita perlu senyap dan menjaga setiap apa yang dilakukan. Saya percaya setiap apa yang dilakukan bukan untuk dilihat oleh umum. "Saya melihat mereka ini lebih mengutamakan keuntungan dalam perniagaan apabila menganggap golongan selebriti ini mampu meningkatkan promosi," ujarnya. Dia juga memberi cadangan supaya rakan-rakan yang turut mengamalkan perubatan Islam lebih banyak berkongsi tentang ilmu kepada khalayak. "Saya sendiri banyak membantu golongan selebriti. Tetapi rasanya tidak elok untuk saya berkongsi kisah mereka. "Sebagai orang yang ada ilmu begini kita boleh saja kongsi manfaat tentang apa yang tidak diketahui umum. Sebagai contoh boleh ceritakan tentang masalah santau atau saka," jelasnya. Sumber: mStar |
ADVERTISEMENT