Gagal menahan sebak menerima khabar salah seorang artis veteran yang menderita kanser membuatkan Timbalan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) iaitu Sandakiah Azez mahu melakukan sesuatu untuk golongan itu.
Susulan itu, PKAVM mengambil inisiatif mengadakan malam amal Sepanjang Jalan Kenangan dalam usaha mengumpul dana untuk disalurkan kepada ahli yang sedang terlantar sakit. "Setiap bulan ada sahaja berita yang kami dengar tentang artis veteran sakit... Masuk hospital dan sebagainya. "Ada juga artis yang nampak sihat diluar tetapi sebenarnya sedang menanggung sakit... Baru-baru ini saya terima berita seorang artis veteran yang disahkan menghidap kanser. "Saya tidak mahu berkongsi siapa individu berkenaan, biarlah dia beritahu sendiri nanti," katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, inisiatif program yang dilakukan ini juga diharap dapat membantu meringankan beban kehidupan mereka yang kurang mendapat tawaran pekerjaan. "Tujuan program malam amal ini sebenarnya adalah untuk mengumpul dana bagi menjaga kebajikan ahli PKAVM. "Jadi saya rasa kalaulah kita dapat bantu mereka dengan sumbangan RM200-RM300 pun pada mereka sudah cukup untuk membantu meringankan beban yang ditanggung. "Sebahagian dana juga akan diperuntukkan bagi program pembangunan modal insan, memberi peluang kepada ahli-ahli untuk meningkatkan prestasi dan imej dengan lebih luas lagi," ujarnya. Malam amal Sepanjang Jalan Kenangan akan berlangsung pada 9 September 2023 pada pukul 8 malam di Grand Ballroom, Melaka International Convention Centre, Ayer Keroh, Melaka. Acara itu nanti turut diserikan dengan persembahan artis veteran seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Datuk Jefrydin, Datuk Yusni Hamid, Mariam Ahmad dan Mariam Ahmad. Tidak ketinggalan Helen Velu, A. Rahman Onn, S. Mariam, Hairee Kool, Sophia Ibrahim, P. Radhi dan pelawak Abon sebagai pengacara. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT