Ampang: "Saya penat dan mahu tidur sehari selepas ini." Demikian komen calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet.
Penyanyi rap dan komposer terkenal itu yang mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keramat di sini, pada 8.04 pagi, mengakui kepenatan selepas berkempen dan hari ini penentu nasibnya. "Terus terang saya penat, lepas ini mungkin saya ambil satu hari untuk tidur," katanya ketika ditemui media hari ini. Altimet turut menyeru semua pengundi untuk melakukan tanggungjawab keluar mengundi. "Masih awal lagi, kita perlukan seramai mungkin untuk keluar mengundi. "Ini kuasa, hak dan keistimewaan kita, saya rasa orang Selangor cukup rasional untuk keluar mengundi," katanya. Sebelum ini, Altimet, 45, membuat kejutan apabila diumumkan bertanding kerusi itu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Altimet akan berdepan dengan calon Perikatan Nasional, Sharifah Haslizah Syed Ariffin. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT