Tidak lemah semangat ekoran sudah lama tidak menerima tawaran seni, Ali Puteh kini mengusahakan perniagaan Sambal Petai Terangkat dan Sambal Jering Berlado Terpadu. Katanya kepada BOOM!, beliau sebelum ini pernah memiliki perniagaan katering bersama Allahyarham Abam dan ibunya.
“Mungkin ada yang tahu, ada juga yang tidak tahu…Kami dulu meniaga kedai makan dan ada perniagaan katering, jadi memasak bukanlah sesuatu yang baru buat saya. “Setakat ini, sambutan orang ramai menggalakkan dan saya sendiri tidak sangka mereka memberi maklum balas positif. Alhamdulillah. “Sudah hampir satu bulan saya berniaga sambal petai dan jering berlado ini, sudah lebih 1,200 bungkus terjual, rezeki anak-anak,” katanya. Ali berkata, sambal petai dan jering berlado keluarannya dimasak sendiri dan setiap proses dipaparkan secara langsung secara atas talian.
“Saya tunjuk cara saya sediakan sambal petai dan jering berlado secara atas talian (Online), di aplikasi TikTok supaya mereka dapat lihat sendiri bahan-bahan digunakan dan cara penyediaannya. “Bagaimanapun, pengeluaran setakat ini terhad sebanyak 100 kotak sahaja setiap kali dikeluarkan, kerana yang penting bagi saya adalah kesegaran produk-produk ini. “Harga juga mampu milik kerana saya mahu semua orang dapat makan sambal petai dan jering berlado saya,” katanya. Berkongsi mengenai perniagaan online yang diusahakan, Ali memberitahu dia tidak melakukan bayaran tunai semasa penghantaran (COD) kerana bimbang ditipu. Justeru itu, dia menggunakan pembayaran perbankan atas talian yang sememangnya selamat dari penipuan.
|
ADVERTISEMENT