Berputih mata Ika Nabella apabila seorang penjual beg tangan 'lesap' selepas dia membuat pembayaran. Beg tangan Bottega Veneta idamannya menjadi mimpi ngeri apabila personal shopper barangan jenama mewah di Instagram itu tidak membalas sebarang pertanyaannya selepas RM7,600 dipindahkan ke akaun penjual berkenaan pada 2 Ogos.
"Saya beli sebab dia ada stok beg tangan yang saya mahukan. "Transaksi sebanyak RM7,600 dibuat Rabu lepas dan katanya akan maklumkan nombor penghantaran. Malangnya sehingga ke hari ini (Ahad) tiada respon. "Saya cuba hubungi menggunakan nombor berbeza dua hari kemudian dan dia balas dengan cepat," katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin.
Dalam pada itu, Ika memberitahu sudah pun membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan kini sedang berusaha menjejaki personal shopper tersebut. "Suka hati scam duit orang lepas itu hilangkan diri. "Pengikutnya ramai tapi rupanya scammer. Dia telah hapuskan Instagram atau menukar nama profil... Dia juga sudah padam WhatsApp," katanya. Kesal kerana terlalu mudah percaya kepada individu tidak dikenali sehingga menjadi mangsa penipuan, Ika menitip pesanan kepada orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan peniaga tanpa usul periksa sehingga termasuk perangkap mereka. "Sebelum ini saya hanya akan beli di butik atau personal shopper yang pernah saya jumpa tapi kadang-kala kita sebagai pembeli pun buat silap. "ini pengajaran supaya saya tidak lagi mudah percaya dan beli barang tanpa soal selidik," jelasnya. Sumber: mStar |
ADVERTISEMENT