Penyanyi rap, Altimet, berharap dapat membawa manifesto dan juga visi dengan lebih jelas untuk diterima rakyat dan juga pengundi. Berbekalkan pengalaman dan bakat yang diraih ketika menjadi penyanyi, pemilik nama Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 44, bertanding di DUN Lembah Jaya pada PRN Selangor, 12 Ogos nanti.
"Saya bersyukur dengan pengalaman saya sebagai anak seni kerana banyak mempersiapkan diri dan memberi kemahiran untuk menghadapi fasa ini dalam hidup saya. "Ada perbezaan dan juga ada persamaan, kalau kita lihat pada asasnya dua-dua adalah cuba mempromosi atau memasarkan sesuatu. "Kalau dalam pentas seni kita memasarkan persembahan atau lagu, kalau dalam politik ini kita memasarkan satu manifesto, visi atau tawaran," katanya ketika ditemui Getaran ketika sesi ramah mesra bersama pengundi di DUN Lembah Jaya pagi tadi.
Tetap berasa gemuruh ketika berada di atas pentas, Altimet berkata perasaan itu tidak dapat dielakkan meskipun pentas boleh dikatakan sebagai 'taman permainan' bagi dirinya. Kebiasaan menyanyi dan membuat persembahan di atas pentas jelas berbeza dengan dunia politik apabila kini beliau perlu menyampaikan ceramah dan juga berucap di hadapan pengundi. "Saya masih baru dalam dunia politik, jadi saya lebih gemuruh di sini. Terus terang rasa gemuruh itu lebih kurang macam saya mula-mula bergerak atas pentas. Sebab saya bukanlah seorang yang extrovert, saya seorang yang introvert. "Antara perbezaan yang sangat ketara untuk saya ialah apabila saya di atas pentas dan pegang mikrofon, saya selalu menunggu lagu, jadi bila ada lagu, saya rasa lebih selesa sebab bertahun-tahun bila atas pentas sahaja mesti ada muzik di belakang. "Jadi bila sekarang, kadang-kadang orang tengok saya berucap itu dan saya nampak macam saya gemuruh itu sebab tengah tunggu lagu tu. "Tapi Insyaallah dan Alhamdulillah, kalau kita cukup berlatih akan jadi biasa dan makin lama akan jadi biasa dan jadi makin selesa," katanya. Bercakap mengenai ruang privasi keluarganya, Altimet berkata beliau akan tetap dengan pendekatan untuk tidak berkongsi mengenai mereka. Beliau menambah, pendirian itu daiambil bagi mengelakkan sebarangan kejadian yang tidak diingini berlaku kepada ahli keluarganya. "Saya rasa terus akan polisi ini dengan saya tidak berkongsi gambar-gambar keluarga saya. Apa yang telah saya lakukan dulu ketika bergelar anak seni, saya akan teruskan juga dalam dunia politik "Pembabitan dalam politik adalah satu keputusan saya, jadi jika saya libatkan mereka, itu tidak adil sebab mereka tidak memilih untuk berada dalam keadaan ini. "Mereka mungkin akan berhadapan dengan kecaman, kritikan yang negatif, jadi saya tidak mahu benda-benda itu berlaku. Biarlah saya seorang yang menghadap benda-benda ini," katanya. Beliau yang juga komposer dan penulis lirik, sebelum ini telah mengumumkan pengunduran dalam bidang seni sebagai penyanyi dan telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun lalu bersama rakan artisnya, Datuk Afdlin Shauki manakala Datuk Hans Isaac menyertai parti sama pada tahun 2020. Sumber: Getaran
|
ADVERTISEMENT