Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali atau Mohd Safee Mohd Sali, 39, tidak menyangka menerima tawaran daripada stesen radio Era sehari selepas mengumumkan bersara dalam arena bola sepak.
Stesen radio berkenaan memilih Safee sebagai personaliti jemputan untuk mengendalikan segmen baharu 'Super Safee ERA' yang bersiaran setiap hujung minggu. Kata Safee, dia bersama pihak pengurusan mengambil masa agak lama untuk mempertimbangkan tawaran berkenaan. "Tawaran ini hadir selepas saya bersara tempoh hari. Saya pun terkejut Era memanggil saya untuk berbincang sehari selepas saya bersara. "Sudah tentu saya berfikir dahulu sebelum menerima tawaran. Banyak perkara yang perlu saya pertimbangkan... daripada bidang sukan terjun pula ke radio," katanya kepada mStar. Safee berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di majlis sambutan ulang tahun ke-25 radio Era yang diadakan di Nu Sentral, Kuala Lumpur pada Jumaat
Super Safee ERA merupakan segmen yang berkongsi info terkini berkaitan sukan tempatan dan antarabangsa yang merangkumi berita, topik perbualan dan temu bual bersama tetamu undangan dari dalam dan luar bidang sukan. Segmen tersebut akan ke udara mulai 12 Ogos, setiap hari Sabtu, pukul 10 pagi. Tambah Safee lagi, menerusi segmen yang akan dikendalikan, dia tidak hanya mengulas tentang sukan, malah tetamu yang bakal diundang juga tidak terhad kepada ahli sukan sahaja. "Tetamu undangan saya tidak terhad kepada ahli sukan dan saya sudah bersedia untuk menyelitkan unsur hiburan dalam segmen berkenaan. "Saya akui tidak mudah untuk saya bercakap tentang hiburan kerana ia bukan bidang saya. "Namun, saya akan cuba melakukan yang terbaik dan berharap pendengar dapat menerima percubaan saya bersiaran di radio ini,” ujarnya. Selain Super Safee Era, Era FM turut memperkenalkan segmen baharu hujung minggu termasuk Seram Sabtu Era iaitu kisah seram perkongsian daripada pendengar yang akan disampaikan oleh personaliti misteri, Throwbaek Era dan Soundtrek Era. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT