Pendakwah selebriti, PU Amin, kini diuji dengan ujian paling hebat dalam hidupnya apabila bapanya, Lokman Hakim Ahmad dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital. Menerusi perkongsian di Facebook, PU Amin, 33, bagaimanapun memberi kata-kata semangat kepada diri sendiri supaya kuat mengharungi ujian ini.
“Allah SWT uji benda yang paling aku sayang. Ayah mesti kuat. Aku kena kuat. Sudah berbulan aku menangis. Kali ini aku tak nak menangis lagi. “Ayah masih bertarung di ICU. Apa pun keputusan aku kuat dan reda. Sebelum ini aku suruh orang jadi kuat, hari ini aku mula belajar apa itu kekuatan untuk berhadapan qada dan qadar,” tulisnya dalam media sosial, di sini hari ini.
Dalam masa sama, PU Amin memohon doa ramai agar dirinya diberi kekuatan menempuh ujian tersebut. “Aku kena kuat untuk mak, isteri dan anak-anak. Semua perasaan dalam hati adalah hasutan syaitan untuk aku lemah dan menolak takdir. “Sekuat mana aku tahan, takdir akan tetap tertulis. Aku ada doa kawan-kawan. Semua doakan ayah,” luahnya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT