Walapun sudah menerima permohonan maaf dibuat Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, tidak mudah buat Datuk Misbun Sidek menerima tawaran untuk kembali bersama badan induk itu.
Bekas pemain beregu kebangsaan, Datuk Seri Jalani Sidek bagaimanapun berkata, tiada siapa yang tahu apa yang terbuku di hati legenda badminton negara itu. "Untuk Bun (Misbun) balik saya tidak nampak, itu daripada pandangan saya, sebab hatinya terguris cukup dalam. Anda tahu Misbun bukanlah jenis orang yang suka melakukan sidang media, lebih baik dia pendam dan pergi sahaja. "Tetapi mungkin, kita tidak tahu dia dan Tan Sri Norza berjumpa untuk berbincang daripada hati ke hati, itu kita tidak tahu," kata Jalani. Norza dalam satu sidang media, semalam membuat permohonan maaf kepada legenda negara itu sambil menjelaskan wujud masalah komunikasi antara kedua-dua pihak yang menjuruskan kepada kemelut yang melanda susulan penamatan kontrak Misbun oleh badan induk itu selaku pengarah pembangunan remaja negara, minggu lalu.
Misbun dalam satu sidang media Isnin lalu meluahkan rasa terkilan dengan tindakan Norza yang didakwa seolah-olah lepas tangan berhubung isu yang timbul itu selepas jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam memutuskan untuk menamatkan kontraknya lebih awal. Bagaimanapun, bagi menjernihkan semula keadaan, Norza turut menawarkan Misbun untuk kembali menggalas tanggungjawab selaku pengarah pembangunan remaja sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini dan jika beliau tidak berminat, pihaknya sedia bertemu dengan jurulatih berkenaan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda agar tiada pihak yang berasa teraniaya. Misbun menerusi pengurus peribadinya, Nor Kamal Ahmad, hari ini memberitahu jurulatih itu menerima permohonan maaf Norza dan akan mempertimbangkan tawaran dikemukakan itu sebaik menerima surat rasmi daripada BAM. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT