Penyanyi rap dan komposer terkenal, Altimet tidak terasa seperti disindir apabila ketibaannya di pusat penamaan calon pada Sabtu lalu 'disambut' dengan nyanyian lagu Hoi Hoi Ya Hoi oleh penyokong Perikatan Nasional (PN).
Altimet tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang sinis atau menyindir tetapi bersyukur kerana lagu itu bakal menjadi tarikan rasmi untuk orang mengingati PH. Malah, dia menganggap lagu itu kini milik rakyat apabila didendangkan semua parti politik. "Kita kena tengok sesuatu dan rasa bersyukur sebab berapa banyak lagu dilupakan. “Ini bukti apabila mereka menyanyi, lagu ini masih relevan dan malar (segar). “Macam lagu balik kampung, orang tak balik kampung pun menyanyi lagu itu, saya anggap (Hoi Hoi Ya Hoi) milik rakyat,” katanya. Altimet juga menjelaskan menghasilkan lagu sempena PRN tidak ada dalam perancangannya buat masa ini.
Dia tidak berhasrat menjadikan lagu atau nyanyian sebagai bahan kempen bagi meraih undi daripada penduduk setempat. “Buat masa ini belum ada lagi. Allah SWT belum bagi apa-apa ilham lagi. “Lagu lain yang tiada kena mengena dengan PRN, mungkin ada. Kali terakhir saya menyanyi pun pada 2019,” katanya. Sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, lagu ciptaan Altimet berjudul Aduh Malaysia, menjadi siulan buat penyokong tegar Pakatan Harapan (PH) ketika itu. Altimet mencipta lagu itu dengan mengubah lirik asal Ali Baba dengan 40 Penyamun dan dilancarkan sendiri di pentas politik. Lagu itu kemudian menjadi tular sepanjang kempen PRU15 dan digunakan oleh pemimpin serta jentera PH untuk dijadikan sebagai bahan kempen. Namun selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, Altimet diserang oleh netizen kerana rata-rata warganet media sosial meluahkan kekesalan dan meninggalkan sindiran halus seolah-olah lagu itu memakan dirinya. Kerusi DUN N20 Lembah Jaya menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Altimet mewakili calon Pakatan Harapan (PH) dengan Ketua Penerangan Pas Ampang, Sharifah Haslizah Syed Ariffin mewakli Perikatan Nasional (PN). Untuk rekod, Altimet memenangi jawatan sebagai Ketua PKR Cabang Ampang dengan menewaskan pelakon, Datuk Hans Isaac, Julai, tahun lalu. Penyanyi lagu Sang Saka Biru ini juga memaklumkan sudah 13 tahun bermastautin di Ampang. Sumber: BOOM! |
ADVERTISEMENT