Selebriti kontroversi, Azwan Ali mengumumkan sudah ‘bersara’ dan tidak mahu bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Bercakap kepada Utusan Malaysia, Azwan yang mesra disapa sebagai Diva AA berkata, keputusan itu dibuat atas beberapa faktor termasuk berasa kecewa dengan situasi politik yang berlaku sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.
“Keputusan ini adalah muktamad sebab saya terlalu menyesal dengan apa yang berlaku sebelum ini. Terlalu banyak insiden terjadi, saya sebagai rakyat saksikan. “Ini juga adalah petanda awal untuk saya tidak bercakap tentang politik lagi,” katanya di sini hari ini. Walaupun menyedari ada peminatnya yang kecewa dengan keputusannya tidak bertanding, Azwan tetap dengan pendirian tersebut. “Saya tahu ramai yang kecewa dengan keputusan ini tetapi saya tidak mahu emosi terganggu disebabkan penyesalan yang berlaku.
“Saya pun sudah malas mengambil tahu tentang politik negara. Saya juga isytihar tidak menyokong mana-mana parti,” kongsinya. Untuk rekod, Azwan pernah bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi DUN Bukit Antarabangsa dengan memperoleh 90 undi pada PRU14. Bagi PRU15, Azwan menarik diri pada saat-saat akhir untuk bertanding di kerusi Parlimen Gombak selepas mendengar bisikan arwah ibunya, Mak Tom. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT