Tular gambar pemain gitar Barbarik, Joe Branko menghadiri pengebumian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat di Pontian, Johor, baru-baru ini.
Gambar Joe yang juga bekas pemain gitar Wings itu dimuat naik seorang pengguna TikTok yang memaklumkan mengenai hubungan baiknya dengan Salahuddin selain mendakwa Allahyarham amat menggemari lagu Potret Monalisa dendangan Wings. Joe ketika dihubungi berkata, Salahuddin meminati lagu Semalam Yang Hangat, bukan Potret Monalisa seperti dinyatakan pengguna TikTok itu. Semalam Yang Hangat adalah lagu dari album keenam Wings, Orang Asing pada 1995 yang menampilkan Mel sebagai penyanyi. Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir berkata, dia memang rapat dengan Salahuddin dan keluarganya sejak 2019.
"Saya mengenali arwah sejak 2017 ketika beliau masih bersama pembangkang waktu itu. Arwah memang seorang yang baik dan kelakar. "Saya juga rapat dengan keluarga dan orang-orangnya. Isteri dia masak memang sedap," katanya kepada Harian Metro. Joe berkata, rumahnya juga berdekatan dengan rumah Allahyarham. Terdahulu, Salahuddin meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam Ahad selepas ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak. Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu meninggalkan isteri Datin Seri Fatimah Taha dan enam anak terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT