Penyanyi cilik, Angelica Petra, 11, muncul dengan single pertama, Selamanya Bersama yang juga lagu runut bunyi filem Daddyku Gangster pada 2021, kini kembali dengan buah tangan baharu berjudul Detik.
Menariknya, Angelica sekali lagi berpeluang berduet dengan gurunya, Mark Adam yang juga pencipta lagu berkenaan. Mark mengakui, Angelica adalah anak murid yang mempunyai potensi yang sangat besar dalam bidang nyanyian. "Ketika mengajarnya, saya melihat kelebihan Angelica menyanyikan beberapa genre lagu di dalam kelas. "Malah, Angelica juga pelajar sangat rajin yang mempunyai sikap atau keinginan tinggi untuk faham mengenai muzik serta lagu," katanya kepada BH Online. Mark menjelaskan, ia dihasilkan ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021. "Ketika fasa PKP, ada yang berjauhan dengan ibu bapa, saudara-mara, suami atau isteri dan rakan-rakan sehingga akhirnya tercetuslah idea untuk saya menghasilkan lagu Detik.
"Lagu Detik menceritakan kisah persahabatan yang saling berjauhan dan timbul perasaan rindu. Apa yang ada ketika itu adalah memori dan kenangan bersama," katanya. Dalam pada itu, Mark berkata, dia berhadapan dengan cabaran untuk sesi rakaman lagu Detik bersama Angelica. "Cabarannya sesi rakaman dibuat semasa fasa PKP. Jadi, Angelica terpaksa belajar secara dalam talian untuk menghasilkan lagu ini. "Selain itu, Angelica juga perlu belajar genre baharu iaitu Pop Standard," katanya. Detik dilancarkan di semua platform penstriman digital dan video muzik boleh ditonton menerusi saluran YouTube D'Ayu Music sejak 30 Jun lalu. Lagu Detik turut tersenarai dalam Carta Lagu Baru Nak Up di stesen radio, Era FM. -CARI Sumber: Berita Harian
|
ADVERTISEMENT