Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil siasatan mendapati kumpulan berkenaan aktif sejak Februari lalu dengan melakukan kegiatan itu di beberapa kawasan di sekitar negeri ini.
“Geng ini aktif melakukan kegiatan samun di rumah tanpa mengira masa, tidak kira pagi, maghrib dan malam di seluruh negeri ini sejak Februari lalu. “Geng ini yang sasarkan barangan berharga seperti wang tunai dan barangan kemas. Barangan kemas seperti rantai, gelang tangan dan anting-anting ini dijual kepada seorang individu di Machang, Kelantan,” katanya pada sidang akhbar di IPK Johor, di sini hari ini. Dalam serbuan itu , pihaknya merampas pelbagai barangan kemas, beberapa bilah parang, pemutar skru, pemotong besi, pelbagai jenis telefon bimbit, beberapa keping resit pajak gadai dan pakaian suspek serta tiga buah kereta Proton Myvi dan Perodua Bezza.
Katanya, susulan penahanan 10 suspek itu, polis berjaya menahan seorang lelaki yang merupakan dalang kumpulan, Jumaat lalu. “Lelaki itu akan membeli barangan kemas hasil samun penjenayah dan dileburkan menjadi jongkong emas bagi mengelirukan pihak berkuasa,” katanya. Katanya, dengan tumpasnya Geng Topeng ini, berjaya menyelesaikan 14 kes samun dan satu kes pecah rumah membabitkan daerah Johor Bahru, Kulai, Tangkak, Iskandar Puteri dan Seri Alam. “Hasil dari samun ini mengakibatkan kerugian RM680,000 kepada semua mangsa. Kesemua suspek direman 14 hari hingga 27 Julai ini. “Hasil semakan tujuh daripada suspek mempunyai rekod jenayah dengan 43 rekod secara keseluruhan. Dua suspek adalah orang dikehendaki dan tiga suspek positif dadah selepas ujian saringan air kencing,”katanya. Kes disiasat dibawah seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Sumber: Kosmo! Online |
ADVERTISEMENT