Bell Ngasri bakal dihadiahkan kereta oleh sebuah syarikat sebagai penghargaan jasanya menghiburkan rakyat Malaysia. Khabar gembira itu diumumkan wakil syarikat tersebut ketika pemenang trofi utama Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) terbabit diundang ke konti Hot FM, pagi tadi.
Di hadapan barisan penyampai stesen radio itu, Khairy Jamaluddin, Fara Fauzana, AG dan Johan, individu tersebut membuat pengumuman yang disambut sorakan gamat satu konti. “Apabila KJ dah sebut, meluap-luap hati ini nak ke depan (umum). Dengan ini saya mewakili syarikat ingin menghadiahkan Bell sebuah kereta,” kata pemanggil bernama Fendi ketika berpeluang bercakap dengan Bell. Sebelum itu KJ telah menyebut secara langsung mahu menuntut agar penggiat seni yang sudah 37 tahun menabur jasa itu diberikan kereta.
Katanya sambil bergurau, trofi kemenangan yang dibawa Bell termasuk untuk kategori, Artis Komedi Terbaik kemek disebabkan dia kecewa tahun ini tiada hadiah kereta. Namun Bell berkata, diangkat sebagai Bintang Paling Popular dengan meraih pakej Umrah juga rezeki. Daripada perbualan antara Fendi dan penyampai, nyata mereka telah berpakat memberikan kejutan kepada figura seni yang terkenal dengan watak Barkoba itu.
Bell pula kaget seketika sebaik mendengar khabar gembira berkenaan dan hanya mampu menzahirkan pujian ke hadrat Ilahi atas rezeki di luar jangkaan itu. “Allahuakbar,” katanya. Sementara itu Bell Ngasri memohon maaf apabila dia tidak dapatkan menunaikan janji manifestonya selepas dia memenangi kategori Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH ke-35. Dia tidak menyangka janjinya untuk belanja makan tengah hari di bulan Ramadan yang dibuat secara bergurau dan spontan itu dipandang serius sesetengah pihak.
"Manifesto yang digunakan untuk berkempen itu adalah cadangan daripada rakan, tetapi saya tidak menyangka ia dipandang serius pula. Saya anggap ia sekadar gurauan saja. "Apabila dijadikan sebagai manifesto kempen, saya berpendapat takkan mereka hendak makan ketika bulan puasa. Namun, saya tidak menyangka dan terlepas pandang ada dalam kalangan pengundi saya bukan beragama Islam. "Jadi, saya termenung sekarang ini kerana tidak tahu bagaimana hendak memberikan maklum balas. Saya memang tidak sangka sebenarnya," katanya kepada Harian Metro. Pempengaruh media sosial popular berbangsa India, Dr Malar Santhi antara yang menuntut Bell membelanjanya makan tengah hari pada bulan Ramadan.
Dalam pada itu, Bell berkata, dia mengambil ikhtibar untuk membuat lawak pada masa akan datang. "Saya meminta maaf, namun saya bukan berkecimpung dalam bidang politik. Saya berada dalam bidang hiburan dan apa yang saya buat untuk menghiburkan anda semua saja. "Tidak ada pun saya terfikir untuk merealisasikan apa yang dijanjikan dengan betul. Namun saya menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran untuk membuat lawak," katanya.-CARI Sumber: Kosmo/ Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|