Radhi OAG menafikan bersetuju untuk membayar RM300,000 kepada bekas isteri untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah, berhubung dakwaan wanita itu dicederakan penyanyi terbabit. Radhi atau nama penuh, Muhammad Radhi Razali, 46, juga menafikan mahu menyerahkan RM5,000 dan RM500 kepada Nur Shahira Ayu Zahiri, 29, namun mengesahkan perkara itu ada dibincangkan antara peguamnya dan wanita terbabit.
"Saya tak sahkan lagi benda itu (bayaran). Saya tak paksa pun dia (bekas isteri) tarik balik kes, saya tak mahu nampak macam saya bayar untuk tarik balik kes. "Sebelum ini dia tanya kalau tarik balik (laporan polis), nak teruskan kes atau tidak. Saya cakap sudah tentu tak teruskan, senang cerita. "Sekarang ini kena tandatangani persetujuan untuk tarik balik kes, ini sudah jadi cerita lain. Bagi saya ia menjadi tak jelas," katanya ketika ditemui media selepas sebutan kes itu di hadapan Majistret, Muhammad Iskandar Zainol, hari ini.
Radhi berhadapan tuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shahira di parkir Emporis Menara D Kota Damansara, di sini, pada jam 2.29 petang, 19 April 2022. Pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. Pada 21 Jun lalu, media melaporkan bekas isteri Radhi OAG meminta bayaran RM300,000 susulan persetujuan mereka menyelesaikan kes di luar mahkamah. Wanita berkenaan dipetik berkata, Radhi boleh melunaskan bayaran penuh atau RM1,000 sebulan untuk tidak membebankan penyanyi itu, yang bertujuan bagi keperluan anak. Sementara itu, Nur Shahira ketika ditemui mengesahkan belum menarik balik laporan polis kes terbabit atas alasan ada beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu. "Ada perkara tak jelas pada saya, Radhi dan peguamnya. Kami berbincang tadi, peguam minta tunda kes itu ke 29 Ogos. "Kita tunggu pada 29 Ogos macam mana (berjaya diselesaikan di luar mahkamah atau tidak)," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT