Haiza Hanafi, 43, teruja diberi peluang menjadi penyampai trofi bagi memeriahkan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 pada Jumaat. Haiza kata ini kali pertama diberi peluang itu biarpun pentas ABPBH bukanlah asing buat dirinya.
"Saya teruja sebab ini kali pertama saya sampaikan anugerah. Sebelum ini, saya pernah buat persembahan dan jadi calon ABPBH. "Disebabkan itu, saya banyak bertanya kepada BH mengenai skrip dan maklumat mengenai dengan siapa bakal digandingkan. "Mereka banyak kali suruh saya bertenang. Agak lucu, namun, semua pengalaman ini buat saya teruja. Terima kasih penganjur percayakan saya," katanya kepada Berita Harian.
Selain Haiza, antara barisan artis dan selebriti yang diberi amanah menjadi penyampai trofi adalah pelakon baharu seperti Meerqeen, Siti Hariesa dan Anna Jobling termasuk Puteri Sarah Liyana dan Raysha Rizrose. Tidak ketinggalan, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Beto Kusyairy dan primadona filem Melayu, Erra Fazira. Haiza adalah finalis kategori Penyampai Radio Popular ABPBH 35 bersaing dengan Johan dari Hot FM, DJ Lin dan Tyzo (Suria FM) serta DJ Sonic (Nasional FM).
ABPBH 35 bertemakan Ekspresi Legasi Seni disiarkan secara langsung dari Istana Budaya, Kuala Lumpur di TV3 dan strim langsung melalui platform Tonton, mulai jam 9 malam, esok. Kembali menduduki senarai Top 5 selepas kali terakhir pada ABPBH 2016, bersyukur dirinya masih relevan. "Sebenarnya, saya tidak kejar untuk bertanding atau tercalon pada mana-mana anugerah. Saya hanya ikhlas bekerja. "Kalau bertanya soal bertanding ini, saya tidak fikir mengenai kemenangan sebab semuanya kawan-kawan.
"Jadi, apa yang boleh saya katakan, ini adalah kemenangan untuk kami semua. Siapa sahaja yang menang nanti, ia adalah bonus buat dirinya. "Jika tidak menang, kena terus jalankan tanggungjawab menyampaikan maklumat bermanfaat kepada pendengar. "Saya selalu dengar orang kata, ramai sudah tidak dengar radio lagi. Tetapi selagi ada kereta di dunia ini, selagi itulah radio tradisional jadi pilihan," katanya. Mengenai kerjaya di Kool 101 yang melalui proses penjenamaan semula, Haiza kini beralih daripada segmen petang kepada pagi bersama Muaz, mengendalikan Pagi On Point, mulai 3 Julai lalu. Bertugas di stesen radio berkenaan sejak 2016, Haiza bersyukur menjadi antara tunjang utama yang membawa nama Kool 101 melalui proses penjenamaan semula. "Saya sudah berpengalaman mengendalikan pelbagai syif kecuali malam. Apabila pengurusan memberi kepercayaan untuk mengendalikan segmen pagi yang dianggap 'anchor' (utama), saya tidak boleh tolak. "Saya terima lamaran dengan tangan terbuka. Apa yang menariknya, saya kembali berganding dengan Muaz, iaitu pasangan saya dari awal sejak berkhidmat dengan Kool FM.
"Pada mulanya, saya berganding dengan AG dan kemudian bersama AG dan Muaz. "Apa yang membuatkan saya teruja, perubahan ini seiring proses penjenamaan semula Kool 101. "Semua ini dilakukan atas maklum balas pendengar yang melihat stesen radio ini mengetengahkan corak penyampaian yang santai," katanya. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|