Sydney: Sebuah objek logam ditemui penduduk di pantai Green Head, kira-kira 250 kilometer (km) di utara Perth. Pihak berkuasa Australia masih menyiasat objek logam yang ditemui di pantai barat negara itu, dengan ada pihak mengaitkannya dengan serpihan pesawat MH370.
Pihak berkuasa negeri dan persekutuan yang melakukan siasatan menolak kemungkinan objek itu serpihan daripada pesawat komersial. Polis berkata, objek itu dikategorikan berbahaya buat masa ini dan meminta orang ramai menjauhi kawasan penemuan, semalam. "Kami ingin meyakinkan masyarakat bahawa kami aktif bekerjasama dengan pelbagai agensi negeri dan persekutuan untuk menentukan objek itu dan asal usulnya," kata polis yang dilapor BBC.
Penduduk memberitahu penyiar tempatan ABC, objek berbentuk seperti silinder itu dianggarkan bersaiz 2.5 meter (m) lebar dan panjang antara 2.5 ke 3m. Penduduk memberitahu sempat beriadah di pantai itu pada Sabtu, sebelum ia ditutup susulan penemuan itu. Spekulasi timbul apabila ada yang mengaitkan objek itu serpihan MH370, pesawat Malaysia Airlines yang hilang pada 2014 bersama 239 penumpang dan kru. Pakar penerbangan, Geoffrey Thomas berkata, tidak mungkin objek itu serpihan MH370, sebaliknya mungkin tangki minyak roket yang jatuh di Lautan Hindi sekitar 12 bulan lalu. "Ia bukan mana-mana bahagian Boeing 777 dan hakikatnya MH370 sudah hilang sembilan setengah tahun, jadi ia akan menunjukkan lebih banyak keadaan lusuh pada serpihan itu," katanya. Agensi Angkasa Lepas Australia pula berkata, objek gergasi itu berkemungkinan terjatuh daripada pelancar roket asing. Katanya, pihaknya juga akan berhubung dengan agensi antarabangsa bagi merungkai misteri penemuan objek itu. Jika ia adalah silinder bahan api, pakar percaya ia mungkin daripada roket India dan boleh mengandungi bahan toksik serta berharap nombor siri padanya akan mengesahkan perkara itu. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT