Penyampai radio, DJ Sonic tidak pernah serik mencipta nama agar lebih dikenali dan popular dalam kalangan pendengar walaupun bukan berkhidmat dengan radio swasta. Bekerja di Nasional FM, dia bersyukur kerana pelakon popular, Fazura dan Fasha Sandha lebih mengenali dirinya dan kerap diundang menjadi pengacara dalam majlis anjuran mereka.
“Sudah ramai jadi pengacara untuk program mereka, tetapi Fazura dan Fasha tetap percaya saya. Saya akan bercakap tanpa henti selama dua jam dan tidak akan sesekali berhenti berehat 10 minit ke, sebab saya akan bercakap sepenuhnya. “Sebab itu, mereka rasa tak rugi ambil saya kerana dalam masa sama saya membantu mereka buat jualan. Saya akan cakap penuh bersemangat dan bukan ala kadar. Mereka cakap saya adalah hos yang sangat rajin. Rajin itu bermaksud saya tiada masa hendak duduk ke, selesai program baru saya akan makan dan minum,” katanya kepada Utusan Malaysia.
DJ Sonic antara lima finalis terbaik bagi kategori Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular (ABP) yang turut bersaing dengan empat rakan penyampai lain iaitu DJ Lin dan Tyzo dari Suria FM, Johan (Hot FM) dan Haiza (Kool 101). Selepas bertungkus-lumus dan berkempen untuk mengundi, DJ Sonic atau nama sebenarnya Awang Suffian Awang Hussein, 44, berkata, sudah tentu dia mengharapkan kemenangan yang akan memberi impak besar terhadap penubuhan RTM yang meraikan ulang tahun ke-77, tahun ini. Katanya, pengurusan tertinggi RTM juga menjanjikan sebuah program televisyen untuk dirinya sekiranya berjaya bergelar sebagai Penyampai Radio Popular ABP.
|
ADVERTISEMENT