Kuala Krai: Seorang pesara kerajaan mengabadikan kesemua koleksi barangan artifak purba tinggalan sejarah yang dicarinya sejak 15 tahun lalu untuk dipamerkan di Muzium Kuala Krai. Mohamad Ramli Zakaria, 63, berkata minat mengumpul barangan artifak yang berusia puluhan dan ratusan tahun itu tercetus ketika masih berkhidmat dengan Majlis Daerah Kuala Krai (MDDK).
Katanya, sehingga kini beliau mengumpulkan lebih 100 barangan artifak zaman prasejarah yang digunakan oleh masyarakat Zaman Neolitik ketika itu, antaranya beliung batu, kulit siput sedut, pemukul kulit kayu, mata lembing, tembikar dan tepak sireh kayu. "Kesemua barangan artifak ini ditempatkan di sudut khas di Muzium Kuala Krai untuk dipamerkan kepada pengunjung kerana ia mempunyai nilai sejarah, cerita dan nostalgia tersendiri. "Barangan artifak yang dicari ini bukan dinilai pada wang semata-mata tetapi koleksi yang mencecah usia ratusan tahun, lebih-lebih lagi jika ia tiada 'pendua' atau edisi terhad," katanya ketika ditemui di Muzium Kuala Krai, di sini, baru-baru ini. Bapa kepada lima anak ini berkata, kebanyakan barangan artifak itu ditemui di daerah Kuala Krai dan Gua Cha serta Gua Cawah yang terletak di Gua Musang. "Untuk mencari artifak di sesuatu kawasan, saya akan bersama kakitangan Jabatan Warisan Negara dan dibantu orang kampung yang akan membawa kami ke lokasi yang hendak dituju. "Selalunya kami akan 'berkampung' di lokasi penemuan artifak selama seminggu sebelum ia dibawa keluar dan Alhamdulillah, sepanjang tempoh itu saya tidak pernah mengalami kejadian aneh atau diganggu makhluk halus. "Ini semua dilakukan kerana minat dan sebagai cara saya menghargai nilai sejarah barangan artifak tinggalan sejarah untuk ditunjukkan kepada generasi kini," katanya. Mohamad Ramli yang meminati sejarah berkata, sebelum ini Muzium Kuala Krai pernah dikunjungi oleh seorang Profesor dari Jepun dan beliau tertarik dengan Batu Peringatan Perang ketika era kedatangan Jepun yang kini dipamerkan di pintu masuk muzium berkenaan. "Beliau kemudian menyatakan hasrat untuk membeli Batu Peringatan Perang yang ditemui di daerah Kuala Krai pada tahun 2012 dan menawarkan harga sehingga ratusan ribuan ringgit, namun saya menolak tawaran itu kerana nilai sejarah yang ada pada batu berkenaan. "Semakin lama masa barangan artifak purba ditemui, nilainya juga akan menjadi semakin tinggi, malah ramai yang sanggup membelinya," katanya. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT