Hampir seminggu hilang sejak 11 Julai lalu, warga emas akhirnya ditemui dalam kawasan kebun getah di Pekan Karai, Kuala Kangsar, Perak pada Sabtu. Individu yang dikenali sebagai Pak Udin itu dijumpai penduduk setempat dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.
Dalam tempoh itu, Pak Udin juga dipercayai tidak menjamah apa-apa makanan dan minuman serta ditemui dalam keadaan tidak berbaju dan tidak memakai selipar dalam kebun getah itu.
Warga emas berusia 65 tahun itu juga difahamkan merupakan individu orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak. Keadaan fizikal dan faktor usia juga dipercayai menyebabkan dia terlupa jalan untuk pulang ke rumah. Menerusi perkongsian video di laman Facebook, orang kampung dilihat memberikan minuman kepada Pak Udin yang berada dalam keadaan terbaring bagi mengembalikan semula tenaganya. Selain itu, kedengaran juga azan dilaungkan oleh penduduk yang berada di kawasan kejadian. Sebelum ini, Pak Udin dilaporkan tidak pulang-pulang setelah keluar dari rumah. "Dia keluar rumah tengah hari kelmarin tak balik-balik. Ikut kata ahli keluarga, pakcik ini keluar tak berselipar, berbaju batik merah, kain pelikat coklat dan tak makan tengahari. Keluarga masih mencari sehingga kini," menurut satu hantaran di Facebook Viral Perak pada Khamis lalu. Berdasarkan komen di hantaran berkenaan, pakcik itu difahamkan seorang yang bisu dan kemungkinan keadaan itu menyebabkan dia terlupa jalan untuk pulang ke rumah. Warga emas itu juga dikatakan kali terakhir dilihat memakai kain pelekat berwarna coklat dan baju bercorak batik merah selain berkaki ayam. Sumber: Majoriti
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|