Sebuah pusat tahfiz di Taboh Naning, Alor Gajah terbakar kelmarin ketika semua pelajar lelaki berusia sembilan hingga 20 tahun sedang tidur. Bagaimanapun, tindakan dua tenaga pengajar yang melompat keluar dari tingkap telah menyelamatkan 10 pelajar tahfiz berkenaan.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, mangsa, Muhammad Amar Aluwi, 24, berkata, ketika kejadian mereka tidur di belakang madrasah manakala dia dan rakannya, Harun Solleh, 23, tidur di bilik yang dikhaskan untuk guru. “Ketika sedang tidur, saya terhidu bau asap yang kuat dan menyangkakan ada orang membakar sampah. Saya bangun untuk memeriksa keadaan dan terkejut melihat api sedang marak di bilik hadapan.
“Saya kejut Harun dan kami mengambil masa untuk keluar kerana keadaan sangat gelap disebabkan asap tebal. Tanpa berfikir panjang, saya terus melompat keluar melalui tingkap kerana itu satu-satunya cara untuk menyelamatkan diri. “Kemudian saya bergegas ke bahagian belakang untuk mengejutkan para pelajar. Alhamdulillah, semua selamat dan mereka tidak cedera,” katanya ketika ditemui. Dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari itu, hampir 45 peratus bangunan madrasah hangus terbakar. Tambah Muhammad Amar, dia nampak punca kebakaran yang dipercayai akibat litar pintas pada salah satu soket elektrik dalam bilik berkenaan. Menurutnya, api marak dengan pantas kerana sebahagian struktur dibina menggunakan kayu, selain ruang itu juga menempatkan barangan pelajar. Sementara itu, Pengetua Madrasah Tahfiz Baitil Hamdi (Lil Banin), Abdul Mutolib Muhd. Shahrir, 49, memaklumkan, nilai kerugian mencecah hampir RM100,000. Katanya, semua pelajar kini ditempatkan di sebuah inap desa dan pihak pengurusan bercadang untuk memindahkan operasi madrasah ke lokasi baharu. Sumber: UTUSAN |
ADVERTISEMENT