Kepala dan mayat broker hartanah Jerman dikerat dan disumbat ke dalam peti sejuk di sebuah rumah sewa di Chon Buri. Hans Peter Mack, 62, dilaporkan hilang sejak 4 Julai lalu selepas isterinya seorang warga Thailand membuat laporan bahawa suaminya gagal pulang ke rumah selepas menghadiri mesyuarat perniagaan.
Mayat Mack ditemukan dalam plastik sampah dan disumbat ke dalam peti sejuk pada lewat Isnin. Waran tangkap dikeluarkan ke atas tiga individu pada Selasa - dua rakyat Jerman dan seorang lelaki Pakistan yang memiliki kewarganegaraanThailand dan didakwa bersubahat dalam kes kecurian dan pembunuhan. Komander polis Nong Prue Chon Buri Pol Kol Thavee Kudtang berkata waran tangkap dikeluarkan selepas polis meneliti rakaman kamera litar tertutup CCTV. Beliau berkata seorang daripada suspek dilihat duduk di belakang sebuah trak pikap, bersebelahan peti sejuk beku tempat mayat Mack ditemukan. "Pegawai penyiasat membuat kesimpulan bahawa tiga suspek terlibat," katanya. Sementara itu, Superintendan di pejabat polis wilayah Chon Buri Pol Kol Santi Kornkasem berkata seorang daripada suspek menyerah diri pada 3 petang (waktu tempatan) hari ini. "Suspek menghubungi polis melalui peguamnya. Dia menyerah diri pada 3 petang (waktu tempatan) hari ini," katanya. Polis turut menemui gergaji elektrik, tali, botol air minuman, soda dan bir. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT