Tular video seorang rider dari sebuah syarikat penghantaran makanan yang dah tua dan layak digelar pakcik dipercayai mencuri bungkusan (parcel) dari rumah seorang penghuni di sebuah kondominium.
"Seorang pekerja penghantaran makanan ********* curi bungkusan anda tanpa mengetahui yang loceng pintu rumah anda ada CCTV," tulisnya di TikTok. Menerusi perkongsian video yang tular itu, kelihatan rider berkenaan memakai baju yang jelas tertulis perkataan 'RIDER' serta berseluar pendek sedang membelek-belek parcel milik penghuni berkenaan. Terdapat dua parcel dibungkus plastik hitam di atas meja yang diletakkan di hadapan pintu unit kediaman tersebut. Selepas beberapa saat membelek, rider berkenaan mengambil salah satu daripadanya dan berlalu pergi dengan tenang. Dia sama sekali tidak menyedari bahawa gelagatnya dirakam oleh loceng pintu yang dilengkapi fungsi CCTV.
Difahamkan, insiden tersebut berlaku di Singapura pada minggu lalu. Video kejadian tersebut turut tular di negara berkenaan, malah penghuni unit kondominium itu juga membuat laporan polis. Menerusi ruangan komen, penghuni itu menambah, pihak polis berjaya mengesan kembali parcel miliknya tidak lama kemudian. Ujarnya lagi, syarikat penghantaran makanan tersebut juga sudah menamatkan perkhidmatan rider yang terlibat. Dia juga memaklumkan kes tersebut masih dalam status 'pending' untuk didakwa di mahkamah, setakat ini. Dalam satu hantaran yang berasingan, penghuni itu berkata item di dalam parcel yang dicuri oleh rider berkenaan adalah pelapik komputer riba (laptop mat) yang berharga sekitar SGD20 (RM70). Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen berpendapat bahawa penting untuk unit kediaman memiliki sistem CCTV, bukan sahaja untuk tujuan keselamatan tetapi menjadi bahan bukti jika berlaku sesuatu insiden. Malah ramai yang turut berminat dan bertanyakan penghuni berkenaan jenis kamera litar tertutup yang digunakannya. "Sesiapa yang gemar membeli barangan secara dalam talian boleh pasang CCTV untuk elak benda-benda macam ni. "Loceng pintu yang sangat bagus... saya pun ada satu yang sama, rekod semua pergerakan. "Sebab itulah bahaya kalau barang-barang online ditinggalkan dekat luar. Orang boleh ambil dan pergi," demikian antara komen netizen. -CARI Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT