Dari bidang peragaan, ratu cantik dan kini pelakon, Sanjna Suri kian menempa tempat dalam industri hiburan tempatan. Wanita itu kini semakin rancak terbabit dalam pelbagai program. Sanjna atau nama sebenarnya Sanjna Kishore Kumar Suri, 30, sememangnya mengimpikan untuk terus melebarkan sayap sebagai anak seni.
Terbaru, dia turut mempamerkan reputasi cemerlang sebagai anggota Majakelat yang menjuarai program Mega Spontan 2023. Bagi Sanjna, terbabit dalam program itu memberikan 1,001 pengalaman berharga buatnya. Bukan sekadar menjadi rapat dengan otai-otai industri termasuk Adlin Aman Ramli, Joey Daud dan Mamat Sepah, dia juga belajar erti usaha tanpa jemu. "Saya amat terharu dan sangat gembira kerana kumpulan Majakelat muncul sebagai pemenang dalam Mega Spontan. Apabila saya menyertai pertandingan itu, matlamat saya hanyalah untuk memberikan yang terbaik, didorong oleh semangat bersaing tinggi.
"Sepanjang lapan minggu, Majakelat berlatih tanpa jemu sekurang-kurangnya tiga hari seminggu. Saya amat berterima kasih atas bimbingan dan sokongan yang diberikan oleh ahli Majakelat yang berpengalaman terutamanya Adlin dan Joey yang selama ini mengetuai pasukan, sentiasa betulkan salah dan silap kami semua," katanya. Menjadi antara anggota yang dikira masih setahun jagung terutama dalam bidang komedi, Sanjna tidak nafikan berdepan cabaran terutama dari segi tekanan. Apapun, dia gembira akhirnya bakat dia turut diiktiraf. "Semua tekanan dan debaran saya rasakan setiap minggu berbaloi sangat apabila kami diumumkan sebagai juara. Secara jujurnya, selepas persembahan terakhir, saya sudah reda dengan apa-apa keputusan kerana saya tahu kami dah buat yang terbaik. "Menjadi juara itu adalah bonus. Saya juga berharap pencapaian ini boleh dijadikan harapan dan inspirasi. Walaupun kita tidak sempurna, dengan kerja keras, kerja berpasukan dan dedikasi, tiada yang mustahil," katanya. Berbekalkan semangat kental dan enggan putus asa, pelakon kelahiran Ipoh itu mahu dikenali sebagai anak seni berkualiti. Pada masa sama, dia ingin lari daripada bayangan dirinya sekadar ratu cantik semata-mata. "Saya berharap orang ramai lebih mengenali saya dan mengetahui saya bukan cuma seorang 'beauty queen'. Saya juga seorang pelakon dan penghibur berkualiti serta berpotensi besar. "Untuk setiap cabaran baharu yang akan datang, saya siap untuk memberikan 100 peratus untuk buat sebaiknya. Saya harap dapat diberi lebih peluang dalam industri hiburan tanah air seperti drama, filem dan program realiti," katanya. Pernah membintangi filem Sangkar, Pulau dan drama Dukun Diva, Dia Bukan Bidadari serta banyak lagi, Sanjna tidak mengehadkan pembabitannya dalam lakonan semata-mata. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT