Datuk Rosyam Nor menggalakkan orang Islam yang gemar menggunakan media sosial menyahut cabaran menyertai pertandingan azan secara dalam talian menerusi program Muazin terbitan Suhan Channel miliknya.
Rosyam berkata, program itu adalah pertama kali diadakan secara dalam talian di sini. "Program ini diadakan adalah untuk meraikan keindahan, kesenian dan kepentingan azan yang juga panggilan kepada umat Islam untuk mengerjakan solat," katanya. Rosyam berkata, dia juga mahu menggunakan namanya sebagai selebriti untuk mengajak masyarakat melakukan kebaikan. "Jika dulu saya menerbitkan pertandingan yang tidak berunsurkan agama, jadi apa salahnya saya membuat pertandingan Muazin ini.
"Saya juga mahu mempelawa semua umat Islam yang gemar bersosial media untuk menyahut cabaran azan, tonjolkan bakat kecemerlangan azan anda," katanya. Menurutnya, pertandingan itu akan diadakan menerusi platform media sosial di mana peserta perlu memuat naik video laungan azan di TikTok, Facebook atau Instagram. Pertandingan Muazin bermula dari 7 hingga 26 Julai ini menawarkan hadiah berjumlah RM110,000 berupa wang tunai, trofi, pakej mengerjakan umrah, hamper dan sejadah. Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu dewasa, remaja dan kanak-kanak. Mereka akan dinilai berdasarkan kualiti suara, ketepatan nada, ekspresi, emosi dan keseluruhan persembahan. Barisan panel juri pula terdiri daripada ustaz bertauliah dalam bidang taranum dan tajwid, antaranya Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad dan Ustaz Amir Rahman Abas. Maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh layari laman web www.suhanchannel.com. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT