CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Iltizam Banduan Genggam Ijazah PhD

10-7-2023 02:03 PM| Diterbitkan: CARI-MAL| Dilihat: 698| Komen: 6

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, seorang lelaki yang menginap di sebalik jeriji besi mempunyai iltizam untuk berjaya sekalipun terpisah dari dunia luar.

Zubir (bukan nama sebenar), 37, membuktikan tidak ada yang mustahil untuk dicapai oleh banduan sepertinya, apabila bakal menggenggam ijazah doktor falsafah (PhD) tidak lama lagi.



Siapa sangka di sebalik tirai besi yang menjadi “kediaman” mereka yang didapati bersalah di mahkamah atas pelbagai kesalahan undang-undang, ada yang bakal menggenggam ijazah doktor falsafah (PhD) tidak lama lagi. - Foto Bernama

Zubir didapati bersalah membunuh majikannya di sebuah rumah di Selangor ketika berusia 14 tahun dan dikategorikan sebagai tahanan limpah, iaitu mereka yang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan atas kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati, namun terlepas kerana kesalahan dilakukan semasa berusia bawah 18 tahun.


Tahanan limpah ini dipenjara tanpa mempunyai tarikh bebas, mendapat pengampunan atau peringanan hukuman daripada Yang di Pertuan Agong, Sultan atau Yang di Pertua Negeri bergantung kepada lokasi di mana kesalahan itu dilakukan.

Anak kelahiran Sabah ini berkata dia tidak pernah bermimpi dapat melanjutkan pengajian hingga ke peringkat tertinggi akademik, apatah lagi ditawarkan pekerjaan sebagai pensyarah.

Bagaimanapun menurut anak sulung daripada empat beradik itu, dia menanam impian untuk bergelar doktor falsafah selepas berjaya memiliki ijazah sarjana lebih lima tahun lalu.

"Sekarang saya sedang mengikuti pengajian di peringkat PhD dalam bidang pentadbiran perniagaan di Open University Malaysia (OUM). Belum tamat pengajian tetapi sudah ada tawaran jadi pensyarah yang menanti," katanya yang ditemui baru-baru ini.

Menyifatkan apa yang dikecapi hari ini adalah hasil sokongan dan bantuan keluarga, pegawai penjara serta penghuni tirai besi yang lain, Zubir berkata dia menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada usia 20 tahun selepas peluang itu dibuka oleh pihak penjara bagi mereka yang ingin menyambung pelajaran.

Dia kemudian menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebelum meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pentadbiran perniagaan.


Walaupun dipenjara, semangat sebahagian banduan menyambung pengajian tetap berkobar. Gambar BERNAMA

Menurutnya, pelbagai ranjau ditempuhinya dalam memburu ilmu terutama dari segi moral apabila ada yang memperlekeh usaha serta cuba menjatuhkan semangatnya.

"Kata mereka, ilmu yang saya dapat ini tidak boleh buat apa-apapun di sini (tidak berguna di penjara). Tetapi saya menolak tanggapan itu kerana ini bukan sekadar ilmu untuk diri sendiri, tetapi saya mahu menyumbang kembali kepada orang lain ketika di dalam penjara dengan mengajar mereka.

"Ilmu itu penting, dan kerana dengan adanya ilmu saya mampu mengubah corak pemikiran dan persepsi saya terhadap sesuatu perkara.

"Dari perspektif yang lebih luas, saya boleh membantu banduan lain yang ingin menyambung pelajaran dan bertekad menyumbang lebih lagi, terutama kepada masyarakat, sekiranya saya dibebaskan kelak," katanya.

Kata Zubir, dia tidak dapat meneruskan pengajian lebih awal disebabkan masalah kewangan keluarga.

Bercerita lanjut, disebabkan oleh kedudukannya sebagai banduan selain pelbagai syarat ketat yang ditetapkan oleh kebanyakan universiti, dia hampir berputus asa untuk menyambung pengajian selepas tamat STPM.

"Pihak penjara berusaha mencari universiti yang sesuai dari segi syarat yang boleh dipatuhi dan mudah akses. Dalam banyak-banyak universiti, OUM menawarkan kursus-kursus yang berkaitan.

"Ketika di peringkat sarjana muda, sebuah pertubuhan bukan kerajaan berkaitan mualaf menaja pengajian saya. Selepas itu, ada seorang individu yang bermurah hati menaja pengajian ijazah sarjana saya dan untuk peringkat PhD pula, OUM menaja 90 peratus yuran pengajian dan selebihnya saya perlu cari sendiri.

"Saya amat berterima kasih kerana memberikan peluang ini yang merupakan satu penghargaan buat kami (banduan) dalam mencari sinar baharu kehidupan selepas keluar dari penjara nanti," katanya.

Sementara itu, hasrat mengubah persepsi masyarakat terhadap bekas banduan selain impian memiliki syarikat sendiri menjadi pendorong kuat Vikram (bukan nama sebenar) untuk meneruskan pengajian di peringkat PhD.

"Itu tujuan sebenar saya memilih menyambung pengajian hingga peringkat sarjana dalam pentadbiran perniagaan. Saya mahu ubah stigma bekas banduan yang sering dipandang negatif oleh masyarakat, selain membuktikan kepada orang di luar sana bahawa kami juga dapat belajar hingga ke peringkat tinggi.

"Ijazah yang diterima juga akan dijadikan batu loncatan untuk saya menubuhkan syarikat sendiri apabila keluar kelak," katanya lelaki berusia 30-an itu yang berhasrat menawarkan perkhidmatan membantu orang ramai memulakan perniagaan sendiri.

"Saya harap dapat menyambung pengajian dalam bidang sama di peringkat PhD sebelum hukuman saya di penjara ini tamat," katanya yang sedang menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana kesalahan menculik.

Dia yang bertekad memulakan hidup baharu selepas dibebaskan kelak juga berazam membalas jasa keluarga yang banyak menyokongnya termasuk menanggung kos pengajian.

Sementara itu, Pengarah Penjara Kajang Mohd Roslen Ramli, berkata pihaknya sentiasa memberi galakan kepada banduan untuk menyambung pengajian, demi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan lebih baik selepas tamat hukuman.

"Di Penjara Kajang sendiri terdapat lebih 10 orang banduan sedang menyambung pengajian, merangkumi peringkat diploma hingga PhD, iaitu satu perkara yang positif supaya mereka dapat merancang kehidupan pada masa depan.

"Mereka berpeluang mendapatkan pekerjaan yang lebih baik selain menjadikan diri mereka lebih bersifat terbuka, sekali gus menjauhi gejala negatif yang lain," katanya.


Sumber: BERNAMA

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote kluangman 12-7-2023 09:36 AM
Ini yang bunuh anak cikgu tuisyen ke?
Quote ulamalu 12-7-2023 09:41 AM
kluangman replied at 12-7-2023 09:36 AM
Ini yang bunuh anak cikgu tuisyen ke?

Itu budak Cina.
Quote sharlenetexas 12-7-2023 09:45 AM
Mmg takleh lari dgn stigma masyarakarat. Mangsa ambil masa untuk move on di atas apa yg berlaku.

Quote ifanonline 12-7-2023 09:49 AM
sharlenetexas replied at 12-7-2023 09:45 AM
Mmg takleh lari dgn stigma masyarakarat. Mangsa ambil masa untuk move on di atas apa yg berlaku.

bagi peluang utk warga banduan utk berubah, walaupun stigma tu tetap ada...semacam stigma anak kelahiran luar nikah
Quote sharlenetexas 12-7-2023 09:52 AM
ifanonline replied at 12-7-2023 09:49 AM
bagi peluang utk warga banduan utk berubah, walaupun stigma tu tetap ada...semacam stigma anak kel ...

Ot jap. Iols dulu tak nak diskriminasi pesakit mental tapi bila deyols jadi agresif, mmg takutlah nk dekat. Samalah mcm banduan ni jugak.

Quote koko12 24-7-2023 11:24 AM
Memang tak boleh lari dengan stigma masyarakarat

Lihat semua komen(6)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-9-2024 09:49 AM GMT+8 , Processed in 0.031934 second(s), 22 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top