Usahawan tani diarah Mahkamah Saskatchewan, Kanada untuk membayar C$82,000 (RM287,957.29) sebagai ganti rugi kerana memberi simbol emoji yang mengelirukan bagi kontrak pembelian flak. Chris Achter berhujah bahawa emoji ibu jari (tanda bagus) itu untuk memperakui resit tetapi hakim memutuskan ia menandakan persetujuan perjanjian kontrak.
Dia kemudian diarah membayar pampasan itu kerana gagal memenuhi kontrak. Achter yang memiliki syarikat pertanian di Swift Current, Saskatchewan, didakwa menghantar emoji ibu jari sebagai jawapan balas terhadap gambar kontrak pembelian 86 tan flak yang dihantar pembeli bijirin, Kent Mickleborough secara mesej telefon pada 2021. Beberapa bulan kemudian, apabila tiba hari penghantaran tiba, Mickleborough yang sudah bertahun berurus niaga dengan Achter, tidak menerima flak ditempah. Dia membawa kes itu ke mahkamah, yang mewujudkan pertikaian hingga membawa kepada penyiasatan lebih mendalam bagi merungkai maksud emoji ibu jari, menurut keputusan mahkamah pada Jun yang tular dan dilapor media tempatan minggu ini.
Pembeli rami mempertikaikan emoji itu yang baginya membayangkan penerimaan syarat kontrak, sementara bagi Achter, simbol itu sekadar menunjukkan dia menerima kontrak tetapi bukan syarat dipersetujui. Dalam penghakiman ringkas yang dipenuhi 24 contoh emoji, Hakim TJ Keene berkata, beliau berpuas hati dengan kebarangkalian bahawa Chris okay atau meluluskan kontrak seperti yang dilakukan sebelumnya, kecuali kali ini dia menggunakan emoji ibu jari. "Pandangan saya, keperluan tandatangan pada kontrak, diganti emoji ibu jari daripada Chris dan telefon bimbitnya yang unik," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT