Ipoh: Kegembiraan empat rakan beriadah di kawasan Air Terjun Kampung Sungai Tonggang, Ulu Kinta di Tambun, dekat sini, hari ini berakhir tragedi apabila salah seorang dari mereka maut akibat lemas.
Komandan Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun, Mohd Johari Tomin, berkata, mangsa iaitu U K Santosh, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir ke lokasi kejadian. Katanya, mangsa lelaki itu dijumpai oleh Orang Asli di kawasan terbabit sebelum dimaklumkan kepada Tok Batin kampung yang kemudiannya menghubungi bomba kira-kira jam 5 petang. "Mangsa dipercayai pergi mandi di situ bersama tiga rakannya. Mangsa dipercayai lemas dan dijumpai oleh orang asli di kawasan terbabit. "Pihak perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada polis," katanya dalam kenyataan malam ini.
Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT