Toronto: Ratusan anggota masyarakat Sikh Kanada berdemonstrasi di luar konsulat India di Toronto, Kanada semalam untuk membantah pembunuhan seorang pemimpin masyarakat bulan lalu, yang masih tidak diselesaikan di Vancouver.
Mereka juga menuduh kerajaan India bertanggungjawab menembak mati Hardeep Singh Nijjar, presiden kuil Sikh dan juru kempen yang mahu mewujudkan negara Sikh bebas yang dipanggil Khalistan. "Apabila sebuah agensi dan sistem India melakukan jenayah, mereka perlu bertanggungjawab," kata Kuljeet Singh, yang juga jurucakap Sikhs for Justice, sebuah pertubuhan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), kepada AFP. Nijjar, yang diisytiharkan oleh India sebagai pengganas dikehendaki, ditembak mati pada 18 Jun di Surrey, pinggir bandar Vancouver, yang menjadi salah satu penempatan masyarakat Sikh terbesar di Kanada.
Seorang lagi penunjuk perasaan, Hakirt Singh, yang juga peguam, berkata kepada AFP bahawa Polis Diraja Kanada (RCMP) 'harus menyiasat pembunuhan itu' sebagai pembunuhan politik. "Apabila berlaku keganasan terhadap ahli Parlimen anda akan melihat ciapan dan reaksi daripada ahli politik. Ini adalah pembunuhan warga Kanada di bumi Kanada. Ini adalah campur tangan asing," katanya. Nijjar mahu mewujudkan negara Sikh yang merdeka di bahagian utara India dan mungkin sebahagian daripada Pakistan. India juga menuduh Nijjar melakukan serangan pengganas di India, tetapi tuduhan itu dinafikan beliau. Penunjuk perasaan yang berkumpul, hampir keseluruhannya adalah lelaki, membawa bendera kuning dengan logo biru yang mewakili gerakan pemisah mereka dan menjerit 'Khalistan! Khalistan!'. Berlepas dari Toronto, mereka tiba di hadapan konsulat India, dan ditentang oleh kira-kira 50 anggota diaspora India sebagai sokongan kepada kerajaan negara itu. "Mereka menaikkan poster menggesa untuk membunuh diplomat India, sudah tentu kami bimbang. "Kumpulan ini sudah melakukan tindakan pengganas pada masa lalu dan ahli politik tidak mengambil tindakan," kata salah seorang anggota kumpulan penentang, Vijay Jain, yang juga seorang perunding IT, kepada AFP. Sejumlah 20 anggota polis campur tangan untuk memisahkan kedua-dua kumpulan itu, dan seorang penunjuk perasaan Sikh ditahan. Sejak pembunuhan pemimpin Sikh itu, ketegangan meningkat antara Kanada dan India New Delhi kerap menuduh Ottawa lalai dalam mengendalikan penunjuk perasaan Sikh di Kanada. "Kami meminta kerajaan Kanada untuk mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan diplomat kami," kata jurucakap Menteri Luar India, Arindam Bagchi pada Khamis, lalu. Kanada adalah lokasi penempatan masyarakat Sikh berhijrah yang terbesar di luar negeri asal mereka di Punjab, India. - AFP Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT