Seiring peralihan zaman, selera pencinta muzik masa kini mulai berubah, apatah lagi, muncul pelbagai konsep dan genre baharu. Namun, vokalis kumpulan Laksamana, Nizam, 56, tetap percaya kebanyakan karya terdahulu masih memiliki nilai sehingga terus menjadi siulan ramai.
Justeru, Nizam atau nama sebenarnya, Mohd Nizam Pechok mahu terus bersuara dan membuktikan bahawa dirinya bersama rakan-rakan seperjuangan dari era muzik lalu masih relevan. "Lagu-lagu penyanyi lama jadi 'evergreen' dan boleh dinyanyikan bersama sekiranya dipersembahkan dalam mana-mana acara. "Saya percaya kalau jemput artis-artis lama, pasti sesebuah acara akan mendapat sambutan meriah. "Sekarang, apa yang saya lihat, asyik penyanyi sama sahaja dipanggil membuat persembahan. Perlulah adil dan ada rasa untuk berkongsi apabila mengadakan satu acara," katanya kepada BH Online.
Nizam berkata, bukti lagu-lagu lama masih mendapat tempat apabila ramai bakat baharu memilih untuk menyanyikan semula beberapa lagu popular suatu ketika dahulu. Pada masa sama, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu juga akur apabila stesen radio kini dilihat lebih selektif apabila kurang memainkan lagu-lagu penyanyi veteran kerana dianggap tidak memenuhi kehendak pendengar masa kini. "Ketika ini, penyanyi baharu banyak menyanyikan lagu-lagu lama. Bagi saya, mereka berbuat begitu supaya mudah dikenali. Kalau lihat, dalam mana-mana acara atau pertandingan lagu lama masih menjadi perhatian. "Kalau penyanyi lama keluarkan lagu baharu pula agak sukar untuk mendapatkan tempat. Saya pernah keluarkan lagu pada 2013 dan 2016, namun stesen radio tidak memainkan lagu ini sebab tidak menepati kriteria," katanya. Mengulas luahannya dalam media sosial mengenai penganjuran majlis rumah terbuka negeri tanpa menjemputnya dan rakan penyanyi lama lain, Nizam berkata, apa yang diperkatakan berdasarkan pengalaman selama 30 tahun dalam industri. "Jika ada kepincangan saya akan bersuara. Namun, siapalah saya, jauh sekali orang berpengaruh. Jadi, orang luar sekadar membaca sahaja. "Jika isu ini sesuatu yang besar, ia perlu diberi perhatian dan seharusnya mana-mana persatuan panggil saya untuk berbincang," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT