Moscow: Di sebalik status diri sebagai warga emas lanjut usia, tiada siapa sangka rupanya wanita Rusia ini dalang di sebalik pembunuhan terancang. Lyudmila Ryabykh, 81, didakwa mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan jenayah di Krasnodar, pernah mengugut membunuh paramedik dengan senapang patah, sebelum memukul pegawai penyiasat, baru-baru ini.
Menurut akhbar Rusia Komsomolskaya Pravda, Ryabykh tertangkap selepas mengarahkan pembunuhan polis jabatan Krasnodar dan menawarkan sejumlah ganjaran. Dia menghubungi beberapa kenalan dalam kalangan bekas banduan dan menawarkan 1 juta rubel (RM51,183) jika dapat melunaskan rancangan itu. Namun malangnya, rakan sejenayahnya mendedahkan rancangan jahat terbabit kepada polis dan dia kini dihukum.
Laporan menyebut, motif utama warga emas itu mahukan detektif berkenaan mati, masih misteri, namun pihak berkuasa mengesyaki ia ada kaitan dengan siasatan kes oleh anggota itu yang mungkin mengancam Ryabykh. Warga emas itu dikatakan memberitahu orang upahannya semua maklumat detektif itu, malah melukis peta ke rumah anggota polis berkenaan serta menyarankan rumah itu lokasi terbaik untuk serbu dan bunuh. Selepas rancangannya terbongkar, polis memutuskan untuk membuat wanita itu berfikir semua dirancang berjalan baik dan detektif sasaran bersetuju berlakon mati dengan menyolek lehernya menampakkan seperti dikelar. Gambar anggota polis yang mati itu kemudian diberikan kepada pembunuh kontrak sebagai bukti kepada Ryabykh, dan sebaik melihatnya, wanita itu 'mengesahkan' kematian dengan ke balai tempat detektif itu bekerja dan bertanya keberadaannya. Apabila yakin detektif itu sudah mati, Ryabykh membayar 25,000 rubel (RM1,279.58) kepada pembunuh upahan, sebelum ditangkap tidak lama selepas itu. Polis menemui senjata api, peluru, kapak dan pisau ketika menggeledah rumah warga emas itu dan dia kini ditahan di pusat tahanan sementara sehingga didakwa secara rasmi atas jenayahnya. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT