Nairobi: Pengurus kilang keju di Kenya nekad mengambil tindakan 'di luar batas' selepas tiada pekerja mengaku membuang tuala wanita terpakai ke dalam tong yang salah. Wanita itu didakwa mengarahkan semua pekerja wanita melondehkan seluar masing-masing untuk memeriksa siapa yang sedang datang haid.
Tindakan melampaunya bagaimanapun menerima padah selepas kejadian dilapor kepada polis dan tiga individu ditahan, menurut BBC. Brown's Food Company (Brown) memaklumkan pengurus terbabit bertindak demikian selepas tiada pekerja wanita yang mengaku membuang tuala wanita terpakai, bukan di dalam tong pelupusan ditetapkan. "Pengurus itu telah digantung kerja sementara menunggu siasatan," kata kilang itu. Polis bandar Limuru mengesahkan, tiga suspek disiasat atas tuduhan serangan tidak senonoh. "Polis menjalankan siasatan menyeluruh dan merekodkan keterangan daripada mangsa sebelum menahan tiga suspek," kata ketua polis Philip Mwania.
Menurutnya, kejadian sama pernah dilapor berlaku di syarikat lain di kawasan berkenaan. "Kami yakin kelakuan yang merendahkan maruah dan memalukan ini berlaku sejak sekian lama. Saya ingin memberi amaran kepada mana-mana majikan yang keadilan akan ditegakkan buat semua mangsa," katanya. Senator Gloria Orwoba yang memperjuang kempen menentang 'period shaming' berkata, walaupun pengurus itu cuba campur tangan dalam pengurusan haid, syarikat tetap gagal menyelesaikan isu berkenaan dalam kalangan pekerja. Dalam perkongsian video di Facebook, beliau berkata, kejadian 'mengundang perhatian' itu dimaklumkan kepadanya pada malam Isnin lalu. Mengulas lanjut, Brown memaklumkan insiden itu 'menyedihkan' dan tidak menggambarkan dasar syarikat secara keseluruhannya. "Kami akan terus bekerjasama dengan pakar kesihatan wanita untuk menyedarkan kakitangan, meningkatkan komunikasi dan mengukuh dasar sedia ada kami," kata kenyataan itu, menambah siasatan dalaman turut dilakukan berhubung insiden berkenaan. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT