CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Selebriti Tempatan Lihat artikel

Dah Berlakon Dan Menyanyi, Buat Bisnes, Kini Fazura Dilantik Jadi Juri Program TV Pula

8-7-2023 12:48 PM| Diterbitkan: CARI-MRO| Dilihat: 552| Komen: 0

Fazura menerima pujian selepas dilihat mula menjadi juri untuk program-program TV.

Terbaharu, Fazura  menggalas satu lagi tanggungjawab sebagai juri tetap dan profesional untuk program terbaharu, Innovathon.


Foto: IG

"Sebelum ini, nama saya kerap kali dilihat sebagai juri untuk program bercorak komedi seperti Maharaja Lawak Mega dan sebagainya.

"Kali ini, saya ditawarkan untuk menjadi juri untuk program Innovathon dan merasakan bahawa, ia bersesuaian dengan kerjaya saya sekarang yang mana, lebih menumpukan kepada perniagaan.

"Saya sukakan program ini kerana ia memberi peluang kepada saya untuk melihat sendiri, hasil inovasi dan kreativiti anak tempatan. Sekiranya anda tonton sendiri program ini nanti, anda dapat lihat betapa kreatifnya orang Malaysia.

"Saya berharap, program ini akan memberi manfaat kepada semua," katanya.

Berkongsi kekagumannya dengan peserta-peserta yang berjaya mara ke dalam program itu, Fazura mengakui, walaupun posisinya sebagai juri, dia tidak menafikan turut menjadikan peserta-peserta ini sebagai sumber inspirasi.



"Antara yang paling mengagumkan saya adalah, ada peserta semuda usia tujuh tahun sehingga 73 tahun. Cara mereka membentangkan projek dan produk mereka membuatkan saya sendiri rasa teruja dan berbangga.

"Ini adalah kali pertama saya berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada program bercorak sebegini. Ia sekali gus mendidik saya mengenai inovasi dan melihat peserta-peserta ini sebagai sumber inspirasi.

"Peserta wanita juga tak kurang ramainya dan mengagumkan. Mereka bukanlah individu yang pernah beraksi di hadapan kamera dan tekanan itu tentunya berbeza buat mereka," katanya.

Fazura juga turut mengucapkan terima kasih kepada mentor untuk program itu, iaitu Datuk Aznil Nawawi yang bertanggungjawab membimbing peserta-peserta untuk membuat pembentangan.

"Kebanyakan peserta wanita ini faham mengenai produk mereka dan ada juga produk-produk mereka yang sudah berada di dalam pasaran. Bahkan, ada yang mendapat sambutan sehingga ke luar negara.

"Tapi, mereka lebih memilih untuk memasarkan produk mereka di dalam negara kerana ingin memperjuangkan produk keluaran tempatan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pak Nil (Datuk Azni) kerana menjalankan tugasnya sebagai mentor dan membantu peserta untuk memberikan pembentangan yang hebat," katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya lakonannya, tentunya kerinduan peminat-peminatnya akan terubat apabila dia membuat kemunculan semula (come back) pada Ogos hadapan.

"Memang saya pun dah lama tak berlakon sebab lebih banyak berikan tumpuan kepada perniagaan. Tapi, sekarang, saya sebenarnya sedang menjalani penggambaran filem, yang masih belum boleh didedahkan lebih lanjut mengenainya.

"Insya-Allah, pada Ogos nanti juga, saya akan kembali aktif dan berlakon dalam drama bersiri," katanya.

Menurutnya, dia lebih selektif sebelum menerima sesuatu tawaran memandangkan, ada beberapa kriteria yang perlu dilihat sesuai dengan kehendaknya sebagai pelakon.

"Saya sangat memilih sebelum bersetuju untuk menerima sesuatu tawaran lakonan. Kalau nak buat 'come back', tentunya saya mahukan skrip yang bagus, jalan cerita yang meninggalkan kesan, berikan manfaat dan juga menjadi inspirasi buat penonton.

"Jadi, ada satu pengarah yang dah lama tawarkan kepada saya untuk berlakon. Skripnya belum dapat, tapi dia bertanya kepada saya, corak penceritaan bagaimana yang saya mahukan.

"Dalam fasa kehidupan sekarang, saya selesa untuk terbabit dalam naskhah bercorak ketuhanan dan mengangkat martabat wanita. Jadi, pengarah itu kini mengolah skrip mengikut acuan yang saya selesa dan mudah-mudahan, ada kelapangan untuk saya dari Ogos sehingga Oktober untuk penggambaran," katanya.

Tidak hanya dalam cabang seni lakonan, Fazura juga ingin turut menyebarkan semangat dan hadir dengan karya muzik yang bercorak ketuhanan.

"Kalau dalam muzik pun, saya inginkan karya yang ke arah ketuhanan. Bahkan, lagu-lagu dalam senarai 'playlist' saya sekarang pun, kebanyakannya lagu dari kumpulan Dewa.

"Saya rasa, lirik-lirik yang ditulis Ahmad Dhani itu memang sampai ke hati saya. Ia bersesuaian dengan apa yang saya suka. Antara lagu-lagu popular berunsur ketuhanan yang ditulis Ahmad Dhani yang saya suka adalah Satu, Jika Surga dan Neraka Tak Pernah Ada dan Jika Cinta Allah," katanya.

Minatnya itu sekali gus membuka peluang buatnya untuk berkolaborasi dengan penerbit dan komposer hebat dari Indonesia itu.

"Insya-Allah, selepas ini akan ada lagu hasil kolaborasi antara saya dengan Ahmad Dhani. Sebenarnya, lagu Jika Cinta Allah yang pernah dipopularkan sebelum ini, dirakamkan semula oleh saya dan sudah agak lama.

"Selain lirik lagu itu yang membuatkan saya jatuh cinta kepada karya itu, Ahmad Dhani turut menyusun semula susunan muziknya dan memberi nafas baharu.

"Selain itu, Insya-Allah, akan ada kerjasama antara saya dengan Melly Goeslaw juga. Tapi, semuanya masih dalam perbincangan," katanya.

Dalam program Innovathon, Fazura membarisi meja juri tetap di samping dua lagi juri tetap lain iaitu Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang. -CARI

Sumber: Harian Metro

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-1-2025 04:44 PM GMT+8 , Processed in 0.032998 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top