Pelakon Uqasha Senrose mengakui terasa hati dengan komen di media sosial yang menuduhnya mandul hanya kerana masih belum memiliki cahaya mata selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga.
Apa yang lebih menyedihkan aktres itu apabila komen tersebut datangnya dari seorang wanita yang sepatutnya lebih memahami perasaan wanita lain. "Saya tidak terlalu terkesan cuma apa membuatkan saya sedih adalah komen tersebut datangnya dari seorang wanita. "Saya sedih dengan cara percakapan individu berkenaan," katanya. Dalam pada itu, Uqasha berkata, sebagai seorang selebriti dia faham apabila dia sentiasa menjadi perhatian dan buah mulut orang namun ada perkara yang tidak sepatutnya dibahaskan di media sosial. Komen tentang isu sensitif pada pandangannya sesuatu yang keterlaluan dan sebagai manusia biasa dia juga ada perasaan sedih apabila netizen mempersoalkan tentang perkara tersebut.
"Agak melampau bila dia komen begitu. Tetapi biarkanlah... selagi tak jumpa secara bersemuka mereka boleh kata apa sahaja. Kamal pun selalu pesan jangan ambil kisah kata-kata orang. "Individu yang komen itu pun tidak menggunakan akaun palsu. Selepas komen dia block selepas saya beri respons terhadap komennya," ujarnya. Berkongsi tentang perancangan ke arah memiliki cahaya mata, Uqasha sentiasa percaya pada rezeki dan ketentuan Allah. Malah dia juga tidak perlu bimbang tentang masalah kesuburan kerana sebelum ini pernah hamil namun mengalami keguguran. "Semua itu kerja Allah. Sebagai manusia kita hanya mampu usaha sahaja. Saya pun pernah keguguran sebelum ini akibat terlalu banyak bekerja. "Kami sentiasa ikhtiar. Bukannya saya tidak pernah hamil sebelum ini. Tak perlu nak beritahu orang kami sedang berusaha," jelasnya. Untuk rekod Uqasha dan Kamal mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT