Nga Kor Ming menggesa Pas berkongsi kad laporan prestasi sepanjang menerajui tiga negeri dan tidak hanya mendabik dada di atas pembangunan dan kebajikan yang tidak seberapa. Naib Pengerusi DAP itu turut mempersoalkan apakah bentuk pembangunan dibangunkan parti itu di tiga negeri berbanding prestasi memberangsangkan di negeri-negeri bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, kerajaan negeri dipimpin PH mengemukakan laporan prestasi yang memberangsangkan. “Apakah pencapaian kamu selama ini, selama 32 tahun pimpin pun bekalan air bersih tidak dapat selesai. “Semalam ada seorang Timbalan Menteri Besar mendakwa Kelantan ada pembangunan dan buktinya ada pusat beli-belah, Aeon Mall di Kota Bharu. Saya mahu tanya pusat beli-belah itu dibina oleh kerajaan negeri atau syarikat?
“Saya rasa dakwaan itu tidak boleh diterima dan ia bukanlah usaha kerajaan negeri sebaliknya pelabur. Saya hairan kenapa pusat beli-belah itu dianggap mercu tanda pembangunan di negeri serambi Mekah itu,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan (GPP) Bandar Diraja, di sini hari ini. Katanya, berbeza dengan Selangor, kerajaan negeri banyak membela kebajikan rakyat sejak dari dalam buaian sehinggalah ke liang lahad menerusi pelbagai insentif dan program bantuan. Ditanya berapa banyak kerusi yang ditandingi DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti, Kor Ming bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah itu, sebaliknya akan diumumkan pada 29 Julai ini. “Berapa kerusi akan dapat kita tunggu hari penamaan calon pada 29 Julai nanti dan rundingan kerusi antara parti sudah selesai. “Apa yang penting semua 18 parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan bersatu hati, senada, sehati dan sejiwa dalam memperkukuhkan kerajaan sedia ada. “Tugas utama kita adalah memperkukuhkan kerajan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kita dapat terus membela kestabilan politik negara,” katanya. Mengulas mengenai keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang ingin bertanding solo pada PRN nanti, Kor Ming berkata, beliau meminta supaya perkara itu dapat dirunding semula. “Jangan lupa juga bahawa saudara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Presiden Muda) adalah Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan dan kami (Kerajaan Perpaduan) akan hantar seorang sahaja untuk satu kerusi DUN. “Prinsip kita senang, bila calon Barisan Nasional (BN) turun berkempen, maka PH akan memberi sokongan padu dan ia juga akan berlaku jika sebaliknya,” katanya. Sumber: UTUSAN
|
ADVERTISEMENT