Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mendakwa tiada menerima panggilan melibatkan detik ngeri pasangan suami isteri disimbah asid. Terdahulu, tular rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mangsa disimbah asid oleh individu tidak dikenali semasa mereka baru memasuki lif di Pangsapuri Laksamana Jaya, di Selayang pada Rabu.
Kes tersebut menjadi tular apabila seorang pemilik akaun Facebook bernama Khairy Adli telah memuat naik video kejadian dan gambar mangsa yang didakwa keluarga sahabatnya di hospital di dalam group 'Gombak Food Delivery'. Menurutnya, perbuatan khianat itu dilakukan kerana unsur dengki dan mendakwa kedai mangsa terbakar 100 peratus, seminggu sebelum kejadian curah asid itu.
"Kemudian semalam (Rabu) mangsa disimbah asid. Mata dan badan melecur. "Mohon sesiapa kenal yang buat macam ini beri maklumat. Mangsa pemilik kedai makan Nan Corner yang menjual roti nan di Selayang. "Memang tidak selamat hendak berniaga di kawasan itu. Orang dengki banyak," lontarnya di dalam media sosial Facebook. Khairy turut meminta agar orang ramai memanjangkan lagi mesej yang dikongsikannya dalam platform tersebut. Katanya, dia pernah makan di kedai keluarga kawannya itu dan makanan memang sedap serta ramai orang. "The one and only best roti nan di Selayang. Bukan sekali dua benda-benda macam ini terjadi kepada mangsa, tapi mangsa bangun dan terus berniaga. "Tak sangka dah sampai main bakar kedai dan simbah asid. Harap polis cepat buat kerja. Selayang is a hot spot for crime," ujarnya. Polis juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden itu. Sumber: Sinar Harian
|
ADVERTISEMENT