Mahkamah Majistret Bentong hari ini mendakwa lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) atas tuduhan membunuh bapanya, bulan lepas. Kan Kong Chen, 22, mengaku faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman, namun tiada pengakuan direkodkan.
Atas dakwaan membunuh Kan Kok Chong, 64, antara 22 hingga 24 Jun lepas di sebuah rumah di Flat Purnama, Taman Gemilang di Jalan Tras, suspek dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan. Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya S. Punitha yang tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh memohon supaya lelaki itu dihantar ke Hospital Permai, Johor bagi menjalani pemeriksaan psikiatri. Qasiratul Jannah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan 3 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.
Pada 27 Jun lepas, mayat seorang lelaki warga emas ditemukan dalam keadaan terbaring di lantai sebuah rumah di Flat Purnama, Taman Gemilang di Jalan Tras di sini. Anak mangsa yang difahamkan mempunyai masalah pembelajaran, ditemukan berada di sisi mayat yang mempunyai kesan kecederaan termasuk kesan terbakar di badan. Semasa kejadian, mangsa hanya tinggal berdua dengan anaknya kerana isteri dan seorang lagi anaknya ke Kuala Lumpur atas urusan perubatan. Sumber: BERNAMA
|
ADVERTISEMENT