Seorang pengantin lelaki kecewa teruk gara-gara tidak dapat bersama isterinya pada malam pertama seperti pengantin lain. Ini disebabkan pengantin perempuan itu menghilangkan diri selepas akad nikah.
Tribun Jatim melaporkan pasangan itu menetap di Kampung Mekarsari di Rancabungur di Bogor, Indonesia dan telah melangsungkan pernikahan pada 25 Jun lalu. Bagaimanapun, timbul khabar angin mengatakan pengantin perempuan dilarikan oleh bekas kekasih yang menjalinkan hubungan selama empat tahun. Setelah tiga hari kehilangan Anggi, ibunya menerima berita yang mengejutkan menerusi mesej daripada nombor telefon yang tidak dikenali. Mesej tersebut turut disertakan dengan gambar swafoto anak perempuannya. Dalam mesej tersebut, Anggi menulis mengenai syaratnya untuk kembali pulang. "Nanti Anggi balik ke rumah apabila keadaannya sudah tenang," kata ibunya sambil memaklumkan anaknya memberitahu dirinya dalam keadaan baik.
Suami Anggi berkata, dia mengesyaki isterinya telah diculik, namun tidak menerima sebarang tanda-tanda sebelum kehilangan tersebut. Menurutnya, perkahwinan mereka adalah atas dasar suka sama suka. "Kami berkahwin atas dasar suka bersama, bukan paksaan atau perkahwinan yang diatur," kata Fahmi. - CARI Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT