Tidak pernah dikritik ‘kayu’ dalam menggalas pelbagai watak, Aedy atau nama lengkapnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi menjadi antara pelakon generasi milenium yang hangat di mata khalayak. Selagi masih memegang status bujang, selagi itulah jejaka kelahiran Kelantan itu akan disuakan persoalan bertalu-talu berkaitan jodoh dan perkahwinan, tambahan secara terbuka mengakui intim bersama pelakon jelita, Amelia Henderson.
Mengulas lanjut hubungan mesranya bersama Amelia, pelakon drama Budak Tebing itu menzahirkan rasa syukur apabila hubungan mereka direstui peminat. Bagaimanapun, dia tidak mahu terlalu memikirkan hala tuju perhubungan, sebaliknya menikmati perjalanan tersebut selain menyerahkan urusan jodoh kepada Allah. “Saya sangat selesa dengan Amelia, saya bersyukur peminat mendoakan yang baik-baik untuk kami dan saya harap mereka akan terus doakan kami.
“Perancangan (kahwin) belum ada lagi, kami nikmati masa kami berdua. Kalau ada rezeki ada. Begitulah sebaliknya,” ujar Aedy dengan tenang. Masih cuba untuk tidak terlalu berterus-terang, namun kesungguhan Aedy terhadap Amelia terlihat jelas apabila sanggup terbang ke Perancis baru-baru ini demi menemani cinta hatinya bertugas sebagai hos mewakili TikTok Malaysia pada Festival Filem Cannes. Semua itu membuktikan cinta mereka bukan sekadar mengisi masa lapang. Selain menyinar dalam arena seni lakonan, terdetik dalam hati jejaka tampan itu untuk bergelar seorang sutradara dan tampil dengan naskhah arahan sendiri suatu hari nanti. “Saya akan kekal dalam industri mungkin sebagai pengarah dan tidak mustahil sebagai penerbit suatu hari nanti. Saya sekarang masih belajar dan berjinak-jinak ke arah itu. “Insya-Allah, mungkin pada masa hadapan nanti saya akan arahkan satu filem, minta doakan saya. “Tentang persiapan, saya sentiasa mempersiapkan diri malah sebelum ini juga saya pernah mengarahkan beberapa projek bersama rakan-rakan saya sebelum ini termasuk untuk jenama saya iaitu Challo Worldwide,” ulasnya. Menyedari kemunculan ramai pelakon lelaki baharu menghiasi arena seni lakonan ketika ini, Aedy melihat senario tersebut satu anjakan yang bagus buat industri seni, selain menjadi pelapis kepada pelakon yng sudah berusia. Dalam masa sama, Aedy berasakan kehadiran pelakon baharu juga persaingan sihat buat dirinya dan pelakon senior agar tidak terlalu nyaman dibuai populariti. “Industri kita sangat kecil dan perlukan ramai pelapis serta pelakon yang berbakat contohnya seperti Mierul Aiman, Merqeen dan lain-lain. “Satu peringatan kepada saya dan pelakon lelaki lain supaya saya tidak terlalu selesa,” katanya. Menyedari sudah beralih ke fasa lebih dewasa, dia juga melihat sesetengah watak itu lebih sesuai jika dijayakan oleh pelakon baharu yang lebih segar dan muda. “Watak saya pun kini lebih ke arah dewasa, watak muda dan remaja itu biarlah mereka pula yang bawa. “Lagipun mereka memang bagus, walaupun saya tidak berkesempatan lagi bekerja bersama mereka, saya dapat lihat mereka sangat komited dengan kerja mereka,” ujar pemenang Selebriti Lelaki Paling Seksi Anugerah Stail Eh! itu. Sumber: Kosmo! Online
|
ADVERTISEMENT