Ipoh: Hujan lebat mengakibatkan sebuah rumah penduduk Orang Asli terjejas manakala dua rumah lagi berisiko tinggi berikutan kejadian tanah runtuh dekat Kampung Juang, Simpang Pulai di sini, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Johari Mohamad berkata, maklumat kejadian itu diterima jam 7.24 malam namun disahkan tiada mangsa dilapor cedera atau kehilangan nyawa. Katanya, hasil pemantauan setakat ini mendapati keadaan tanah di situ kurang stabil akibat hujan lebat justeru penghuni di dua rumah yang berisiko tinggi itu membabitkan seramai lima mangsa sudah dinasihatkan supaya mengosongkan kediaman mereka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
"Pemantauan semasa dibuat bagi keadaan tanah runtuh itu dan didapati keadaan tanah kurang stabil akibat hujan lebat. Penghuni dua rumah itu sudah dinasihatkan supaya berpindah ke rumah saudara-mara terdekat untuk mengelakkan kejadian tidak diingini memandangkan keadaan cuaca masih mendung. "Pihak polis Balai Simpang Pulai juga sudah dimaklumkan untuk rujukan semasa," katanya dalam kenyataan malam ini. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT