Walaupun berharga 1,999 yuan (RM1,289.89) setiap satu, keunikan saiznya menyebabkan ada warga China yang sanggup berhabis duit untuk membeli mi cawan gergasi. Menurut media tempatan yang dipetik The Straits Times, kegilaan itu hadir selepas Sam's Club, kelab keahlian dimiliki syarikat peruncitan terkenal Amerika Syarikat, Walmart menjual mi cawan gergasi edisi terhad di kedainya di Shenzhen yang dibuka Khamis lalu.
Setiap cawan itu berketinggian 45 sentimeter (sm) dan mengandungi 24 mi cawan saiz biasa dengan pelbagai perisa. Jualannya habis dalam tempoh 15 minit sebaik kedai dibuka, kata media tempatan, yang menambah 50 slot pembelian disediakan untuk pembeli hari itu. Gambar orang ramai berbaris untuk membeli mi cawan gergasi itu turut dimuat naik di media sosial.
Seorang daripada ahli Sam's Club, Xiao Chen berkata, berbaris panjang di hadapan kedai pada Sabtu untuk mendapatkan mi cawan gergasi itu. "Kira-kira 15 minit selepas jualan dilancarkan dan kami tiba-tiba dimaklum yang produk sudah habis dijual," katanya yang dipetik portal Sohu. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT