Penyampai radio Suria FM, Shuib berlembut hati memaafkan individu bernama Zuhairi yang menyebarkan fitnah terhadap dirinya dan arwah isteri, Siti Sarah di media sosial, baru-baru ini selepas mereka bersemuka dan bertentang mata.
Dalam pertemuan di kafe Bubblee Bee, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur pada Selasa, Shuib atau Shahmira Muhamad, 39, memberi peringatan agar Zuhairi tidak lagi menyebarkan fitnah tentang dirinya dan keluarga. "Sejak bercakap di telefon semalam (Isnin), saya juga sudah berlembut hati. Hari ini Zuhairi tampil dan memohon maaf. "Saya maafkan dia. Saya tahu dia seorang yang beradab kerana berani datang hari ini. Mungkin silap kerana berkongsi di media sosial sebelum ini," katanya dalam pertemuan tersebut. Kedua-dua mereka juga dilihat berpelukan sebelum Shuib sendiri memohon maaf sekiranya sesi yang berlangsung bakal mengundang masalah lain buat Zuhairi.
Dalam pada itu, Shuib memberitahu dia sedang mengesan seorang lagi pengguna media sosial bernama John Dihani kerana telah menyebarkan fitnah tentang kematian isterinya itu. Shuib dengan nada tegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan sebagai pengajaran agar perkara sama tidak berulang lagi. "Biarlah peguam saya yang pergi berjumpa dia dahulu. Saya sudah bincang perkara ini boleh ambil tindakan dan saya akan saman sebagai satu bentuk pengajaran. "Perkara ini nampak mudah tetapi ia melibatkan kematian isterinya. Tuduhan itu seolah-olah saya membunuh isteri sendiri. Kalau betul sila bersemuka dengan bukti. "Saya tegas dengan pendirian ini sebab saya tahu apa yang dikatakan semua tidak betul," ujarnya.
|
ADVERTISEMENT